Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) semalam akan membebankan rakyat Malaysia dengan hutang yang lebih tinggi, memburukkan lagi krisis kos sara hidup, kata seorang pemain industri hartanah.
Elvin Fernandez, pengarah urusan firma penilaian hartanah Khong & Jaafar, berkata, kenaikan OPR akan menyebabkan orang ramai berasa terdesak untuk mengeluarkan lebih banyak wang bagi membayar pinjaman hartanah mereka.
“Orang yang mempunyai gadai janji untuk rumah bernilai RM500,000 perlu membayar tambahan RM100 (untuk pembayaran balik), dan mereka yang mempunyai rumah bernilai lebih RM1 juta perlu membayar tambahan RM200,” katanya.
Menurut Fernandez, kenaikan OPR juga akan menjejaskan kebolehjualan rumah, menyebabkan keadaan hartanah tidak terjual menjadi lebih teruk.
Ini kerana, katanya, kadar faedah yang lebih tinggi akan menghalang pembeli baharu membeli disebabkan kos yang lebih tinggi untuk membayar balik pinjaman.
Dalam suatu langkah yang tidak dijangka, BNM terus mengetatkan dasar monetarinya dengan menaikkan OPR kepada 3% semalam. Sejak Mei tahun lepas, bank pusat itu telah meningkatkan OPR sebanyak lima kali, berjumlah 125 bps atau 1.25%.
Fernandez berkata, caj yang lebih tinggi mungkin tidak jadi masalah bagi mereka yang mempunyai sumber pendapatan yang kukuh, tetapi sebaliknya bagi mereka yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.
“Bagi mereka yang mudah menanggung kos sara hidup dan gadai janji yang semakin meningkat, mungkin tidak mengapa, tetapi bagaimana dengan yang lain? Bolehkah mereka bertahan?” soalnya.
Felo Pusat Pendidikan Pasaran Consilz Tan berkata, kenaikan OPR secara amnya akan membawa kepada kenaikan harga hartanah, memandangkan kadar faedah yang lebih tinggi akan difaktorkan secara langsung dalam harga rumah.
Beliau berkata, ini seterusnya akan menyebabkan permohonan untuk pinjaman perumahan menurun kerana ia akan menghalang pembeli rumah “konservatif” daripada melabur.
“Pembeli rumah konservatif ini mungkin mempertimbangkan untuk menyimpan lebih banyak (wang) berbanding melabur dalam hartanah,” tambahnya.
Dengan bayaran balik pinjaman rumah jadi lebih tinggi, rakyat akan terus bergelut dalam krisis hidup yang makin mencengkam.
Baca juga: Tak sangka ikan paling mahal dalam dunia hidup di perairan Malaysia sahaja