Pemuda Pakatan Harapan Terengganu tertanya apakah perkembangan dari surat pekeliling Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang melarang semua kepimpinan dan aktivis politik dari menyampaikan ceramah, kuliah, atau pengajaran agama di masjid dan surau dalam negeri Terengganu.
Ini kerana sehari selepas surat pekeliling atas nama Yang Dipertua MAIDAM itu disiarkan, pemimpin Pas negeri dilihat masih lagi meneruskan ceramah di masjid-masjid.
Ketua Pemuda PH negeri, Zamir Ghazali berkata, beliau tidak menolak kemungkinan MAIDAM telah pun mengadakan perbincangan untuk memanggil individu-individu yang ingkar terhadap arahannya.
Namun persoalannya sekarang kata Zamir, sejauh manakah tindakan penguatkuasaan itu diambil kerana sehingga kini masih belum diketahui apa tindakan tegas yang sudah dilakukan MAIDAM bagi menunjukkan keseriusan majlis agama Islam negeri menguatkuasakan larangan mereka.
“Kita dapat lihat ketika raya baru ini pun ada ahli-ahli politik menyampaikan khutbah raya di atas mimbar masjid.
“Kita merasakan bahawa MAIDAM mungkin sudah ada tindakan daripada sudut perbincangan memanggil individu-individu tersebut, untuk memberikan tunjuk sebab kepada apa yang telah mereka lakukan
“Namun sejauh mana penguatkuasaan kepada larangan yang sudah ada dalam pekeliling tersebut iaitu kita dapati masih belum ada tindakan yang konkrit daripada pihak MAIDAM sendiri,” katanya seperti dilapor Harapan Daily.
Menerusi surat pekeliling yang dikeluarkan pada 3 Mac lalu, MAIDAM mengeluarkan larangan sedemikian selepas Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan dukacita dengan penglibatan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid, serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid tanpa kebenaran daripada MAIDAM.
Sultan Mizan juga bertitah supaya semua pihak dapat menghormati dan mematuhi segala peraturan dan arahan yang dikeluarkan oleh MAIDAM dan JHEAT.
Namun begitu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 4 Mac berkata, dia akan tetap meneruskan aktiviti berceramah dan khutbahnya seperti biasa di masjid dan surau-surau.
Sehingga 17 Mac, Abdul Hadi dilihat masih meneruskan aktiviti ceramahnya di Masjid Rusila, Marang. Namun tiada apa-apa tindakan yang diambil MAIDAM
Sementara itu, Harapan Daily juga cuba mendapatkan perkembangan terkini dari MAIDAM berkenaan surat pekeliling yang dikeluarkan mereka sama ada masih berkuatkuasa atau sudah ditarik balik. Namun masih belum berjaya dapatkan respon.
Sementara itu Zamir yang juga Ketua Pemuda AMANAH Terengganu berkata, sikap pemimpin Pas yang berkeras melanggar peraturan ditetapkan majlis agama Islam negeri menunjukkan tauladan yang tidak baik kepada rakyat.
Baginya, pekeliling itu dikeluarkan atas sebab kebimbangan dizahirkan Sultan Terengganu sendiri dan apabila titah baginda diingkari, ia menunjukkan Pas sebenarnya biadab terhadap Sultan kerana terang-terangan melanggar peraturan yang ditetapkan.
“Di situ adalah satu sikap yang boleh kita belajar betapa angkuh pimpinan negeri, ahli-ahli politik yang ada sekarang khususnya dalam aspek pematuhan kepada pekeliling yang dikeluarkan oleh institusi yang mempunyai autoriti,” katanya lagi.
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio