Sesak nafas, M. Daud Kilau dikejarkan ke hospital

Oleh KIM SYAZIE

Penyanyi veteran terkenal, Datuk M. Daud Kilau telah dikejarkan ke Hospital Teluk Intan (HTI), Perak selepas mengadu sesak nafas.

Segera dirawat di wad kecemasan, namun penyanyi yang berusia 85 tahun itu kini stabil dan telah dipindahkan ke wad biasa, kelmarin.

Menurut anak M. Daud Kilau, Mohd. Zaini, bapanya mengadu kepenatan walaupun telah stabil dan boleh bercakap.

“Bapa mengadu sesak nafas lalu kami membawanya ke HTI dan dia dirawat di wad kecemasan pada kira-kira pukul 12 tengah hari. 

“Pada pukul 5 petang, bapa dimasukkan ke wad biasa. Pemeriksaan oleh doktor mendapati bapa mengalami kencing manis tinggi gula.

“Keadaannya sekarang sudah stabil, boleh makan sedikit sedikit, dia juga sudah boleh bercakap cuma dia tak larat duduk lama, kerana akan rasa penat,” katanya.

Terdahulu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Cek Mek Molek itu dimasukkan ke hospital yang sama pada September tahun lalu.

Mengalami masalah kesihatan, M. Daud Kilau disahkan menghidap kencing manis, jantung tidak stabil dan sakit pinggang.

Mengucapkan selamat tinggal kepada dunia nyanyian, beliau tidak lagi membuat persembahan dan lebih banyak berbaring di rumah.

Baca juga: “Nasi putih, tomyam, telur dadar…” Lelaki terhibur tengok member mengigau