“Jangan beli rumah, sewa sahaja”, nasihat padu jutawan ini buat orang buka mata

Oleh KIM SYAZIE

Pastinya jika kita mempunyai duit yang banyak, antara perkara pertama dibeli adalah rumah namun jutawan ini mempunyai pandangan berbeza.

Seorang jutawan berketurunan India, Ramit Sethi memberikan nasihat kontoversi supaya hanya menyewa rumah kerana kosnya lebih murah berbanding memiliki kediaman sendiri.

Menurut portal berita, Money Control, Sethi memiliki kekayaan bersih sekitar AS$20 juta (RM 88.75 juta) hingga AS$25 juta (RM110.90 juta).

Sethi juga adalah penulis buku, I Will Teach You To Be Rich yang disenaraikan sebagai karya terlaris oleh akhbar New York Times.

“Saya bosan dengan obsesi buta kepada pemilikan rumah di Amerika,” Sethi memberitahu program stesen penyiaran CNBC berjudul Make It.

Menurutnya, pemilikan kediaman adalah pelaburan mahal yang tidak boleh dipandang ringan tetapi idea bahawa hartanah sentiasa pelaburan hebat telah menjadi ‘agama’ di AS.

Sebagai contoh, Sethi berkata, dia sendiri menyewa sebuah apartmen di Manhattan.

Apartmen yang dijual di sebelah unitnya mempunyai pemandangan, keluasan persegi dan bilangan bilik tidur yang sama dengan kediamannya.

Namun, apabila dia mengira kos, perbelanjaan bulanan pemilikan apartmen itu ternyata sekitar dua kali ganda lebih tinggi berbanding menyewanya.

“Ini adalah satu contoh bagaimana menyewa kadang kala boleh menjadi keputusan kewangan yang lebih baik daripada membeli,” kata Sethi.

Disebabkan itu, dia juga menyewa rumah di beberapa pasaran sewa paling mahal di AS termasuk San Francisco, New York dan Los Angeles.

Baca juga: Tak sangka ini wanita disebalik suara GPS yang selalu kita dengar masa memandu tu