Netizen dakwa Mercedez Benz miliki 397 saman berjumlah RM118,700, sekali PDRM tampil perjelas hal sebenar

Oleh KIM SYAZIE

Sebuah Mercedes-Benz GLC didakwa miliki 397 saman yang berjumlah RM118,700, hasil semakan yang didedah netizen di TikTok.

Menerusi perkongsian @montkiaraslut, individu itu difahamkan melakukan semakan nombor plat kenderaan yang mempunyai dua angka itu melalui mesej pesanan ringkas SMS ke nombor hotline JPJ.

Perkongsian tersebut mengejutkan orang ramai yang mempertikai bagaimana kereta yang mempunyai saman lebih RM100,000 itu boleh memperbaharui cukai jalan dan tidak dikenakan sebarang tindakan seperti pengguna jalan raya lain.

Mereka juga mendakwa mereka perlu menjelaskan saman terlebih dahulu, kemudian barulah dapat memperbaharui cukai jalan masing-masing.

“Aku satu saman blacklist kena naik makamah bagai. Tak boleh renew lesen dengan roadtax. ini sampai 118,700. Dasar penguatkuasaan Malaysia lemah!,” Komen pengguna Twitter.

“Semua pakat tanya macam mna dia dia renew roadtax. sebab dia tak penah renew roadtax lah kena smpai 398 saman tu,” komen pengguna TikTok alip.

Bagaimanapun dalam respon segera, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan terdapat sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) mempunyai tunggakan saman sebanyak 397 bernilai lebih RM100,000.

Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan dan membuat semakan saman PDRM ke atas nombor pendaftaran kenderaan tersebut.

Katanya, hasil semalam mendapati tiada sebarang tunggakan saman seperti yang dinyatakan.“Sehubungan itu, JSPT menegaskan agar orang ramai tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi dengan mengeluarkan kenyataan tidak benar dan mengelirukan.

“Kesalahan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu Penggunaan Tidak Wajar Kemudahan Rangkaian Atau Perkhidmatan Rangkaian,” katanya dalam satu hantaran di Facebook

Baca juga: Artis Malaysia dakwa dapat gelaran Datuk, ramai pula sangsi tengok gambar istana belakang tu