Bos kalah saman, diarah bayar lebih RM10,000 gara-gara desak pekerja wanita ‘dating’ dengan lelaki tua

Oleh KIM SYAZIE

Mahkamah menjatuhkan hukuman bersalah terhadap seorang ketua jabatan gara-gara mendesak pekerja wanitanya yang muda untuk menjalin cinta dengan seorang lelaki yang lebih tua.

Lapor The Straits Times, kejadian yang terjadi di salah sebuah syarikat besar di Korea Selatan itu berlaku pada tahun 2021, iaitu semasa wanita tersebut sedang menikmati makan tengah hari bersama tiga orang majikannya termasuk ketua jabatannya itu.

Ketika dia menceritakan tentang tempat tinggalnya kepada mereka, ketua jabatan tersebut mencadangkannya agar berjumpa dengan seorang lelaki bujang yang 20 tahun lebih tua daripadanya dari jabatan lain di syarikat yang sama.

Bagaimanapun, wanita tersebut menolak tawaran itu namun dia terus didesak ketuanya kerana lelaki itu mempunyai wang yang banyak.

Setelah pihak pengurusan mengetahui tentang perkara itu, tindakan memisahkan mereka telah diambil dengan meletakkan ketua jabatan berkenaan dalam percubaan selama tiga hari apabila tersebarnya isu tersebut di dalam syarikat.

Susulan itu, wanita tersebut telah memfailkan saman pampasan untuk ganti rugi terhadap ketuanya dan dia perlu menjalani rawatan psikiatri.

Dalam pada itu, mahkamah rayuan mendapati ketua jabatan itu bersalah kerana menggunakan bahasa yang tidak sesuai sehingga menyebabkan pekerjanya berasa terhina secara seksual iaitu melanggar Akta Pekerjaan Sama Rata.

Memandangkan situasi perbualan itu tidak dibuat dalam hubungan yang sama rata, dan pekerja lain turut hadir pada masa itu, maka boleh diandaikan bahawa plaintif pasti berasa terhina secara seksual. Kata-kata defendan boleh dianggap oleh plaintif sebagai gangguan seksual.

Ketua jabatan itu sebelum ini mendakwa kenyataan itu hanyalah gurauan semata-mata dan bukanlah berbaur seksual. Walau bagaimanapun, mahkamah tetap menolak dakwaanya.

Menurut Akta Pekerjaan Sama Rata, penghinaan atau penolakan seksual juga ditakrifkan sebagai contoh kriteria penghakiman gangguan seksual.

Keputusan Mahkamah Daerah Pusat Seoul mengekalkan keputusan mahkamah rendah yang memerintahkan ketua jabatan tersebut untuk membayar sebanyak RM10,064.31 (3 juta Won) kepada wanita itu.

Baca juga: Hati-hati nak gelar orang ‘penyondol’, Ustaz Kazim perjelas kahwini suami orang dibenarkan syarak