Hasrat seorang wanita untuk menikmati hidangan terbantut selepas melihat makanan yang disediakan di sebuah premis telah dihurung sekumpulan lalat.
Menjijikkan, kedai yang menyediakan makanan berasaskan sup daging itu dipercayai terletak di Pasir Mas, Kelantan.
Menularkan video tersebut di media sosial, seorang pelanggan tidak berpuas hati dengan cara pengusaha mengendalikan gerai tersebut.
Sudahlah makanan tidak ditutup, pekerja di gerai tersebut malah bertindak mendiamkan diri tanpa berusaha untuk cuba menghalau lalat itu.
“Tolonglah jaga kebersihan. Ya Allah, sumpah geli nak mati. Macam mana meniaga makanan tetapi langsung tidak ditutup.
“Selamba saja pekerja dia buat tidak tahu. Nayalah siapa yang memesan sup ini,” tulis kapsyen video yang dimuat naik di laman TikTok.
Tidak menyatakan nama premis tersebut, pelanggan itu memuat naik video dengan tujuan untuk memberi amaran kepada orang awam.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata penonton kesal dengan tindakan sesetengah peniaga yang tidak bertanggungjawab.
Perlu diberikan pengajaran, ada individu meminta agar pelanggan itu menghantar video tersebut kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Terus hantar video pada KKM. Kotor melampau sangat ini. Lalat hijau selalunya ada di tempat busuk macam najis,” kata seorang pengguna.
“Ini kalau pelanggan nak pesan sup, baru dihalau lalatnya. Lepastu siapkan makanan macam biasa. Pelanggan sakit perut, keracunan bukan kau nak tanggung,” kata pengguna lain.
Baca juga: Musang king turun harga dalam dua minggu, hanya RM20 sekilo