Rupanya senang je nak bagi cili subur, teh uncang terpakai pun berkesan?

Oleh KIM SYAZIE

Boleh dikitar semula, teh uncang yang telah digunakan sebenarnya masih mampu memberi manfaat kepada pengguna.

Merupakan petua yang berkesan, individu bernama Armanshah Mohamad Tahir berkongsi bahawa teh uncang mampu menyuburkan tanaman cili.

Jangan terus dibuang setelah digunakan, teh uncang terpakai itu boleh dibuka dan letakkan benih cili di dalamnya.

Menurut Armanshah, apabila benih sudah bercambah, tanaman tersebut kemudian boleh disiram dengan air basuhan beras agar cepat berbunga.

“Saya menggunakan uncang teh yang sudah digunakan daripada buang begitu sahaja. Daun teh boleh dijadikan medium dan baja anak benih cili.


“Caranya, anda perlu letak sedikit air dalam uncang teh yang telah dibuka supaya lembap. Serbuk teh cepat kering jika panas.

“Boleh guna air basuhan beras daripada buang dalam sinki. Malah, pokok akan jadi lebih subur dan cepat berbunga,” kongsi pemuda itu.

Perlu ditanam di ruangan yang menerima cahaya matahari, lelaki itu turut berkongsi tip dan larangan dalam menanam cili di sekitar rumah.

1. Jangan salah pilih bekas! Contoh bekas yang sesuai adalah pasu 16 inci X 20 inci.

2. Pastikan tiada pokok buah jambu seperti mangga, belimbing dan jambu di kawasan tanaman cili untuk mengelakkan serangan lalat buah.

3. Jangan tanam benih cili pada waktu tengah hari untuk mengelakkan kesan kejutan haba.

4. Pastikan air tidak bertakung kerana ia boleh menyebabkan pertumbuhan kulat.

Baca juga: Mudah sangat nak cuci brokoli tak perlu ‘wax’ terus hilang asalkan guna tips ini