Mahu mengerjakan solat, seorang pengunjung terkejut saat melihat pintu masuk menuju ke ruangan solat di Zoo Negara.
Bagai bangunan terbiar, kawasan pintu gerbang yang dipenuhi dengan kesan lumut itu tampak menyeramkan di mata kasar.
Malah, saat kali pertama melihatnya, pengunjung tersebut merasa seolah-olah mahu memasuki kawasan taman tema, Jurassic Park.
Tidak percaya dengan apa yang berada di depan mata, pemuda tersebut mula musykil bahawa bangunan yang berada di hadapannya itu adalah surau.
Akhirnya, setelah bertanya berkali-kali kepada kakitangan yang bekerja di zoo berkenaan, barulah pemuda itu berani menjejakkan kaki ke dalam surau itu.
Walaupun luarannya nampak menyeramkan, pengunjung itu bagai terpukau saat sudah masuk ke dalam kawasan surau tersebut.
Tidak seperti yang dijangkakan, tempat beribadat yang luas itu rupanya sangat bersih dan tampak ceria di dalamnya kerana dihiasi dengan cat cerah.
Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan, pemuda berkenaan berkongsi penemuannya itu menerusi satu hantaran di laman Twitter.
“Surau Zoo Negara macam nak masuk Jurassic Park. Aku pun mula-mula tidak percaya (bangunan) ini surau.
“Dua tiga kali tanya dekat pekerja dia baru yakin ini surau. Tapi dalam surau dia ok la. Sangat luas dan bersih,” ciapnya.
Difahamkan, Zoo Negara sedang dalam proses menyiapkan surau baharu di kawasan lain yang lebih sesuai dikunjungi oleh pelawat.
Baca juga: Anak Amyra Rosli dijangkiti HFMD, nasihat ibu bapa ‘alert’ jika anak demam