Seorang kakitangan kerajaan berpangkat Ketua Polis Daerah (OCPD) telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan, pagi tadi.
Pegawai kanan polis yang bertugas di sebuah daerah di negeri Pahang itu disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah dari tahun 2017 hingga 2022.
Suspek didakwa menerima habuan bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan rumah urut di sekitar daerah kawalannya.
Kesannya, pusat yang beroperasi tanpa lesen di kawasan itu dipercayai bebas daripada sebarang tindakan dan gangguan pihak berkuasa.
Hasil daripada kegiatan haram tersebut, lelaki yang berusia 53 tahun itu disyaki telah menerima rasuah dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.
Diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), suspek tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.58 pagi.
Tujuan suspek dibawa ke mahkamah adalah untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi menjalankan siasatan.
Terdahulu, penahanan yang dijalankan di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009 itu disahkan oleh Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman, semalam.
“Kita mengesahkan penahanan seorang OCPD di Pahang dan memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan kegiatan salah laku.
“(Ini termasuk) jenayah atau apa-apa perlanggaran undang-undang membabitkan pegawai polis di negeri ini.” katanya.
Baca juga: Jual durian tanpa baju, TikTok ‘abang sado’ dihujani wanita gatal