Hampir satu tahun Mizz Nina mendiamkan diri selepas perceraiannya dengan penyanyi Noh Salleh, tiba-tiba penyanyi jelita itu mengejutkan dunia hiburan selepas mengumumkan perkahwinan keduanya bersama seorang lelaki dari Amerika Syarikat.
Pada awalnya ramai membuat tebakan bahawa lelaki baru Mizz Nina seorang imam atau pendakwah, tetapi dari hasil carian, suaminya bukan calang-calang orang dalam industri hiburan di AS.
Essam Muhammad merupakan seorang penulis lirik, penyajak dan aktivis kemasyarakatan yang cukup dikenali dalam komunitinya. Difahamkan Essam sudah mula terdedah dan mendekati muzik rap sejak berusia sembilan tahun.
Sebagai pemuzik dan pencinta seni, Essam urut membuka ruang kepada golongan muda setempat mengenal dunia puisi dan tegar memperjuangkan dakwahnya hingga ke luar negara.
Seni muzik, sajak serta dakwah telah membawa Essam ke Malaysia selain Afrika Selatan, United Kingdom, Holland serta Switzerland.
Pada 2020, Essam telah menghasilkan dua album yang menyelitkan lagu berunsur dakwah dan kemanusiaan berjudul 12.12 serta Chapter20six.
Difahamkan lelaki berdarah Maghribi lingkungan usia 30-an itu turut menggenggam ijazah dalam pengajian media dan komunikasi sekitar 2016.
Bukan sahaja dalam bidang muzik, Essam turut terbabit dalam penerbitan sebuah filem berjudul Purple Don’t Cry yang ditayangkan di Festival Filem Seattle, baru-baru ini.
Majlis resepsi pasangan pengantin baharu itu pula bakal diadakan Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat.
Ini adalah perkahwinan kedua Mizz Nina yang pernah mendirikan rumah tangga dengan Noh Salleh pada 2 Julai 2011 namun bercerai 4 Ogos tahun lalu.
Dalam pada itu, Noh juga bakal menamatkan status duda selepas mengikat pertunangan dengan seorang peguam pada 7 Mei lalu.
Baca juga: “Nak ‘pinjam’ semalam”, suami orang kantoi komen lucah di video anak Azhar Sulaiman