Bukan ‘marketing’, Aliff Syukri jual durian RM5 sekilogram untuk bersedekah?

Oleh KIM SYAZIE

Hanya berbekalkan RM5, penggemar durian boleh mendapatkan raja buah yang dijual usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri sebanyak sekilogram.

Menarik perhatian ramai dengan tawaran harga di luar jangkaan, gerai yang dibuka oleh usahawan tersebut sering diserbu oleh pelanggan.

Sering dihimpit kontroversi, pengasas produk kosmetik itu mengaku bahawa jualan murah yang dilakukannya itu bukanlah satu taktik pemasaran.

Malah, ahli perniagaan yang terkenal dengan tagline ‘Terlajak Laris’ itu juga tidak mahu bersaing dengan pengusaha lain.

Menjual buah dari ladang durian yang diusahakan sendiri, Aliff Syukri mahu semua orang tidak kira golongan dapat merasai raja buah tersebut.

Hanya berniat untuk bersedekah, usahawan itu bersyukur apabila buah jualannya mendapat sambutan baik dari orang ramai.

“Syukur. Ini saya nak berniaga sambil bersedekah. Berkat doa mak dan arwah abah. Tak sangka respon pelanggan macam ni. Seronok.

“Tiada niat mahu bersaing. Hanya mahu berniaga sambil bersedekah, orang lain pun dapat rasa bersama-sama,” kata Aliff menerusi hantaran di Instagram.

Selain menjual durian kampung dengan harga bermula RM5 sekilogram, Aliff turut menawarkan durian duri hitam, musang king, dan udang merah.

Dijual dengan harga yang berbeza mengikut jenis dan saiz durian, tawaran tersebut difahamkan bakal berakhir esok (Ahad).

Baca juga: Keyakinan pelabur UK meningkat terhadap Malaysia, kata Fahmi