Bapa ada ketumbuhan, keluarga ‘berumah’ dalam Wira kerana tak mampu bayar sewa

Oleh KIM SYAZIE

Bagai jatuh ditimpa tangga, itulah nasib yang terpaksa ditanggung keluarga lima beranak setelah kehilangan tempat tinggal beberapa bulan lalu.

Menghadapi masalah kewangan, sepasang suami isteri bersama tiga orang anak terpaksa menjadikan kereta Proton Wira sebagai tempat berteduh.

Tidak mampu membayar wang deposit dan sewa rumah, ketua keluarga yang dikenali sebagai Ab Razak Ab Aziz itu hanya bekerja sebagai mekanik jalanan.

Mencari pendapatan halal, Razak membaiki kereta yang rosak di sekitar lebuh raya antara Gombak, Selangor hingga Karak, Bentong, Pahang.

“Tempat tidur itu tak menentu. Kadang tengok mana ada kereta rosak malam itu, kalau dekat pam minyak Gombak, dekat situ la kami akan tidur. 

“Esok pagi bangun lepas mandi sarapan apa semua, saya akan ronda pusing balik di sekitar kawasan lebuh raya kalau ada kereta rosak.

“Bila dah kumpul duit itu, ada sahaja masalah lain timbul. Contohnya kereta rosak. Jadi saya kena pilih nak betulkan kereta atau nak sewa rumah,” katanya.

Memburukkan keadaan, Razak pula disahkan menghidapi ketumbuhan setelah leher Razak mula membengkak dengan ketara.

Prihatin dengan keadaan Razak, seorang pengguna Facebook tampil membuat pendedahan mengenai penderitaan yang dialaminya.

Syukur, dengan bantuan orang ramai dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Razak kini sedang menerima rawatan dan dijangka bakal dibedah di hospital.

Pihak hospital turut berbesar hati menyediakan tempat bermalam buat keluarga Razak sementara menunggu rawatan selesai.

Baca juga: Tegur warga Singapura isi minyak dalam tong, rider Grab pula yang hilang kerja