Pernah tak kita tertanya kenapa harga raja buah yang ‘lahir’ di Malaysia tetapi kebanyakannya berharga yahudi?
Ramai yang menyifatkan peniaga durian dapat untung besar dan sehingga menggelarkan mereka boleh pergi haji balik hari. Macam-macam persepsi orang ramai terhadap peniaga durian.
Seorang penulis bernama Nasuha Rahman pada dua tahun lalu berkesempatan merentas negeri kerana urusan kesihatan. Alang-alang sampai di negeri Serambi Mekah, dia sempat bertemu dengan Pok Nik, pekebun durian Musang King dan bertanya perihal durian kepadanya.
Kami kongsikan penjelasan daripadanya:
Dek kerana mahu durian ‘fresh’ dari ladang saya hubungi seorang pakcik yang ada kebun durian di Kuala Krai. Durian segar baru luruh, isi kuning berkilat, lemak manis.
Memang sedap. Saya dapat harga durian kampung RM8 sekilo dan IOI atau mas muar (panggilan orang kampung) pula RM15 sekilo. Isi durian kampung warna kuning macam Musang King cuma bijinya lebih besar.
Biasa saya beli durian kampung isinya putih, nipis terserlah bijinya. Kali ini saya berpuas hati beli durian dari kebun RM200 makan sampai ‘lebam’. Siap buat pulut durian dengan santan segar bersama nisan (gula Melaka) yang dikikis dan ditabur atas pulut tadi. Alhamdulillah. Sedap sangat.
Berjumpa dengan pakcik yang dikenali Pok Nik seorang pesara polis sambil menikmati raja durian Musang King (saya dua biji, suami dua biji) dari kebunnya.
Dia bercerita perihal lapan pokok durian Musang King (durian kunyit panggilan orang kampung) yang diwarisi daripada orang tuanya. Rezeki dia.
Menurut Pok Nik harga Musang King yang dibeli dari kebun sudah mencecah RM50 sekilo, belum lagi dijual di pasaran. Jadi tidak hairanlah harga sebiji durian boleh cecah ratusan ringgit.
Pok Nik tidak menafikan harga durian mahal kerana untuk kos penjagaan yang rumit bagi mengelakkan buah jatuh gred.
Dia yang tidak mempunyai modal yang banyak terpaksa memajak lima daripada lapan pokok durian Musang King kepada pemajak dengan harga RM9,000.
Dengan memberi pajakan, buah duriannya akan terjaga daripada binatang seperti tupai yang merosakkan buah. Akhirnya rugi kerana tidak ada yang membeli.
“Kita tidak ada modal, nak jaga buah durian mahal ni perlu keluar modal banyak supaya buah kita cantik, isi molek. Kualiti terjaga, ramai yang nak beli buah durian kita,” katanya.
Pok Nik memberi pajakan kepada seorang guru ketika pokoknya baru mula berbuah (buah masih kecil).
Macam tahun sebelum ini Pok Nik tidak memajak pokoknya, daripada sepokok durian yang ada 70 biji, hanya 7 biji sahaja buah yang elok, lebihnya semua ditebuk tupai, jatuh atas tanah (lebam) dan dimakan babi.
Kata Pok Nik dia rugi dekat RM3,500 daripada buah yang rosak itu (jika RM50 sebiji).
“Bila buah rosak orang hanya ambil murah bawah RM30 sekilo. Daripada banyak buah yang rosak, lebih baik kita serah pada pemajak mereka ada serba serbi kelengkapan,” katanya.
Satu lagi, katanya sifat buah durian Musang King ini jika ia mula luruh ia akan luruh bertali arus bukan macam durian kampung sekali sekala luruh.
Katanya semua persediaan jaga buah durian termasuk membina pondok, jaring atau pukat, upah penembak tupai, upah pengutip buah semua ditanggung oleh pemajak.
Kos di sini sahaja katanya, sudah mencecah ribuan ringgit dengan kos membeli peluru yang kini sudah digunakan hampir 300 biji peluru untuk tembak tupai dan babi.
“Penembak bukannya tembak di depan pokok durian, biasa akan tembak tupai di sekitar iaitu 500 meter dari kebun. Kebun-kebun yang lain pun terselamat daripada tupai, tidak rugilah. Bunyi tembakan kuat sekali tembak semua tupai lari,” katanya.
Jika Pok Nik tidak memajak pokok duriannya dia mampu meraih pendapatan puluhan ribu hasil jualan kesemua durian daripada lima pokok yang dipajaknya. Lima pokok ada lebih kurang 300 biji durian dan dianggarkan sebiji RM100, RM30,000 beliau dapat.
Malangnya beliau tidak mempunyai modal tebal untuk kos penjagaan pokok-pokoknya. Jadi jalan terbaik baginya adalah memajak demi menjaga kualiti buah durian selari dengan nama gelarannya raja buah.
Bagaimanapun, tiga pokok durian Musang King beliau masih ada untuk kaum keluarga dan sanak saudara termasuklah saya yang dapat menikmatinya.
Saya bukan memihak kepada pekebun durian, atau penjual durian tetapi ada logiknya cerita Pok Nik mengapa harga durian mahal.
Baca juga: “Baju ini untuk anak saya puan…”, Neelofa respon lepas ramai mesej minta derma baju Bilal
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio