M40, B40 akan bergabung dalam Kejiranan Madani

Oleh BORHAN AHMAD

Pembangunan Kejiranan Madani Wilayah Persekutuan untuk kelompok M40, B40 dan rentan miskin akan bermula tahun ini.

Perdana Menteri berkata, melalui pembangunan itu golongan sasar terbabit akan tinggal dalam satu kawasan kejiranan sama serta dilengkapi pelbagai kemudahan asas.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, pembangunan merangkumi kediaman untuk dijual dan disewa dengan tawaran mengikut kategori pendapatan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu berkata, beberapa komponen pembangunan termasuk Residensi Prihatin Madani bagi golongan M40 berpendapatan isi rumah RM7,000 sebulan ke bawah, dengan unit ditawarkan berkeluasan 800 kaki persegi dan nilai jualan RM200,000.

Selain itu, jelasnya, Residensi Madani ditawarkan bagi golongan B40 berpendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah, membabitkan unit berkeluasan 750 kaki persegi dan nilai jualan RM180,000.

“Bagi yang berpendapatan RM4,000 ke bawah, khas untuk golongan bujang atau belia dan pasangan yang baharu berkahwin serta berusia 30 tahun ke bawah, akan ditawarkan Residensi Sejahtera Madani, dengan harga RM150,000 dan keluasan 700 kaki persegi,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Sesi Temu Mesra Bersama Pemilik Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan perasmian tempat letak kereta Taman Tasik Metropolitan Kepong hari ini.

Bagi kumpulan berpendapatan rendah yang tidak mampu membeli rumah untuk didiami, terdapat dua skim akan ditawarkan bagi membolehkan mereka menyewa kediaman di bawah Kejiranan Madani Wilayah Persekutuan.

Ia membabitkan Rumah Majlis Madani untuk golongan M40 dan B40 dengan kadar sewa dikenakan adalah RM600 sebulan untuk lima tahun dan Rumah Ihsan Madani bagi golongan B40 serta rentan miskin, dengan kadar sewa RM300 sebulan, juga untuk lima tahun.