PM Anwar lancar Rakan Muda nafas baharu

Oleh BORHAN AHMAD

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Rakan Muda, yang diberikan nafas baharu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi hari ini.

Sebanyak 10 Gaya Hidup diperkenalkan selaras dengan cita rasa dan minat generasi muda hari ini iaitu Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Demokrasi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi dan Rakan Litar.

Turut menjadi komponen inisiatif itu ialah Rakan Mahir, Rakan Muzik, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.

Anwar berkata, melalui inisiatif Rakan Muda yang diberi nafas baharu itu, anak muda diberi peluang untuk memilih sendiri dan mengambil bahagian dalam 10 Gaya Hidup yang diperkenal.

“Ini adalah persiapan kepada satu generasi yang mempunyai cita-cita murni, nilai kemanusiaan dan insan yang hormat satu sama lain.

“Yang senang dengan kebaikan, persaudaraan, kemajuan, teknologi baharu, muzik dan hip hop.

“Yang membenci rasuah, hipokrasi dan salah guna kuasa, dan benci dengan orang yang menghina kaum lain.

“Saya rasa lega apabila melihat semangat anak muda daripada pelbagai kaum, agama dan daerah datang dengan satu cita-cita.

“Bagaimana kita boleh selamatkan generasi ini? Memupuk nilai luhur yang menyelamatkan negara kita,” tegas Pengerusi Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu lagi.