Kesihatan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan semakin pulih dan dibenarkan keluar dari hospital, petang semalam.
Dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada hari Sabtu, Ahli Parlimen Marang itu dirawat di Unit Rawatan Jantung (CCU) selama beberapa hari.
Meskipun dirawat di CCU, pemimpin veteran PAS yang berusia 76 tahun itu didakwa tidak mengalami masalah jantung.
Dakwaan itu dikongsi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman, lapor Bernama.
Menurut Ariffin, tidak seperti ‘sangkaan’ sesetengah pihak, Abdul Hadi sebenarnya dimasukkan ke hospital kerana mengalami demam.
“Saya dan beberapa Exco negeri serta pimpinan PAS Terengganu ada melawat beliau tengah hari tadi (semalam). Keadaan beliau baik.
“Doktor telah memberi pelepasan (Abdul Hadi) pulang pada jam 2 petang tadi (semalam). Saya telah hubungi keluarga tuan guru.
“Dimaklumkan, beliau sudah tiba di rumahnya di Rhu Rendang (Marang),” kata Ariff Deraman, memetik Bernama.
Kelmarin, kesihatan Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional itu dilaporkan merosot dan perlu menerima rawatan di hospital.
Sudah berada dalam keadaan uzur sebelum Aidiladha lalu, perkara itu dimaklumkan oleh anaknya, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Baca juga: Nasib berubah lepas terima RM100, rupanya ini punca pemandu teksi sapu dipenjara