Bahana bagi kawan ‘test-drive’, kereta GR Yaris Kansai milik Pekin Ibrahim jahanam – “Baru seminggu sampai Malaysia”

Oleh KIM SYAZIE

Baru sahaja tiba di Malaysia seminggu yang lalu, kenderaan jenis GR Yaris Kansai milik Pekin Ibrahim dilaporkan terlibat dalam kemalangan.

Hanya terdapat satu unit di Malaysia, kereta hitam edisi terhad yang diimport daripada Jepun itu malangnya mengalami kerosakan ‘total lost’.

Difahamkan, ketika kemalangan di Putra Height, Selangor itu berlaku, pemiliknya iaitu pengarah dan pelakon terkenal, Pekin tiada di tempat kejadian.

Pekin saat menjelaskan keadaan sebenar berkata, kereta itu sebenarnya dipandu oleh rakannya dan turut dinaiki oleh dua orang penumpang lain.

Walaupun semua rakannya selamat, Pekin bagaimanapun memaklumkan bahawa salah seorang daripada mangsa mengalami kecederaan patah bahu.

Walaupun dihimpit perasaan sedih, pemilik nama penuh Mohd Iznan Ibrahim itu tetap reda dan menerima takdir dengan hati yang terbuka.

Pekin juga memohon agar orang ramai mendoakan kesihatan rakannya dan berhenti membuat spekulasi yang tidak benar mengenai kejadian itu.

“Berhenti sebarkan perkara yang bukan-bukan, yang mengatakan meninggallah, berlumbalah. Sebenarnya benda berlaku sekelip mata.

“Semuanya atas qada dan qadar. Kami akan bincang selepas semuanya sihat. Insurans akan cover, Insya-ALLAH. Harap doakan yang baik-baik.

“Untuk semua, berhati-hati di jalan raya. Bawa kereta member (rakan), kena berhati-hatilah.” Kata Pekin menerusi hantaran video di akaun TikToknya.

Kereta GR Yaris Kansai D1 Edition milik Pekin itu dikatakan ‘rare’ kerana mendapat sentuhan istimewa daripada pemilik Kansai Servis dari Jepun.

Malah, setiap proses ubah suai kereta itu sempat dirakam dan dimuat naik oleh Pekin di saluran Youtube miliknya untuk dijadikan kenangan.

“Sayanglah benda dah jadi begini, siap ada sign Kansai dekat ‘dashboard’. Tak apalah tak ada rezeki orang kata.” Ulasnya.

Dibuat khusus untuk Pekin, kenderaan edisi terhad itu baharu sahaja tiba di Malaysia seminggu yang lalu.

Baca juga: Nak mohon rayuan lepas gagal UPU? Ini 4 perkara yang perlu pelajar pertimbangkan