Majlis Ilmu Madani di Seri Perdana, Putrajaya, kediaman rasmi perdana menteri, semakin popular sekarang dengan kedatangan para ilmuan Islam dari seluruh pelusuk dunia.
Kelmarin, majlis ini sangat istimewa tatkala majlis yang dituanrumahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disertai oleh dua tetamu iaitu Dr Muhammad Al-Qaradawi dan Abdurrahman Al-Qaradawi yang merupakan putera kepada Almarhum Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi yang amat dikasihi.
Turut hadir dalam majlis itu adalah Ustaz Wadi Anwar, seorang penceramah yang popular. (gambar atas)
Menurut PM Anwar, Dr Muhammad dan Abdurrahman mewakili keluarga Almarhum Yusuf al-Qaradawi mengunjungi Malaysia bagi menunaikan amanah dan wasiat bapanya untuk menyerahkan koleksi tulisan Almarhum kepada beliau pada malam itu.
“Hubungan dengan Almarhum yang panjang semenjak awal tahun 70an ditandai dengan pesanan kepada saya sewaktu mengemudi ABIM ketika era kebangkitan Islam dan terkenal dengan semangat anak muda yang membara dan kuat idealismenya,” kata beliau.
Katanya, Syeikh Dr Yusuf memperingatkan kepentingan bersikap sederhana dan dengan menjadikan dakwah sebagai jalur hikmah yang penuh kebijaksanaan.
“Bagi pihak keluarga saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kedua putera Almarhum yang sudi melawat kami di Malaysia, dan semoga hubungan persaudaraan ini kekal segar seperti sewaktu mula Almarhum bapa mereka melembar pintu persahabatan ini,” katanya.
Selepas itu, PM Anwar merasmikan Majlis Peluncuran Buku “Syeikh Yusuf al-Qaradawi Sebuah Autobiografi Sang Pelita Umat” yang diterbitkan oleh Kumpulan Darul Fikir Sdn. Bhd.
Turut sama dalam majlis ini adalah wakil keluarga almarhum Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, Dr Mohammad al-Qaradawi serta YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan dan Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama).
“Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi telah mengabdikan kehidupannya untuk memberi kefahaman dan pendidikan kepada umat.
“Mesej kesabaran dan kesederhanaan serta sifat tawaduk beliau amat mengesankan saya sebagai seorang murid dan juga sahabat.
“Saya berpandangan buku autobiografi ini harus dibaca agar mendorong minat kita untuk membaca karya beliau yang lain.
“Ketokohan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi melalui penulisan tidak boleh disangkal oleh kerana keluasan ilmunya dan mendalam,” kata Anwar di majlis itu.