Dakwa guru gigit bibir dan tarik mulut anak, ibu tidak buat laporan polis?

Oleh KIM SYAZIE

Tular di media sosial, seorang ibu mendakwa bahawa ada guru lelaki telah bertindak tidak senonoh dengan menggigit dan menarik bibir anaknya.

Isu tersebut terbongkar setelah anak lelakinya yang berusia enam tahun itu mula berubah dan meluahkan hasrat untuk tidak lagi mahu ke sekolah.

Menularkan perkara itu di laman Facebook, pihak polis bagaimanapun masih belum menerima sebarang laporan mengenai dakwaan tersebut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, semakan yang dibuat mendapati tiada laporan dibuat oleh keluarga mangsa.

Sedangkan, wanita berkenaan sebelum ini meluahkan keinginan untuk mengambil tindakan susulan dan membawa kes itu ke mahkamah.

“Saya menasihatkan agar ibu bapa yang terbabit dengan kes ini tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

“Pihak kami belum menerima sebarang aduan berkaitan. Mungkin penyelesaian sudah dilakukan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Tetapi jika ia sudah dibawa ke peringkat mahkamah seperti yang didakwa, seharusnya laporan polis perlu dibuat,” katanya.

Terdahulu, wanita berkenaan telah membuat pendedahan mengenai isu melibatkan anaknya itu menggunakan akaun Eyma Zaideen di laman Facebook.

“Cikgu selalu gigit bibir Abe Cik (anak Eyma) pastu dia tarik panjang-panjang. Sakit mama. Dahlah gigi cikgu kuning dan mulut hitam. Abe Cik geli.

“Kadang cikgu gigit telinga dan hidung juga. Hari ini dia gigit bibir dan hidung,” adu kanak-kanak yang dipercayai bersekolah di Kelantan itu.

Mendakwa anaknya menjadi mangsa gigitan seorang guru lelaki, Eyma telah mengadakan pertemuan untuk berbincang dengan pihak sekolah.

Menerusi hantaran di akaun sama, Eyma juga mendakwa telah berbincang dengan pihak peguam untuk mengambil tindakan lanjut terhadap guru tersebut.

Difahamkan, kanak-kanak yang trauma itu sedang mendapatkan rawatan daripada pakar untuk memulihkan tekanan emosi yang dialaminya.

Baca juga: Tabik ‘spring’ tengok malim Gunung Kinabalu, selamba gendong wanita 84KG turun