Gelagat dua orang individu dipercayai pelancong dari Rusia telah berjaya menarik perhatian rakyat Malaysia baru-baru ini.
Berdiri di tengah jalan sambil memegang kertas kadbod, dua lelaki berkenaan rupa-rupanya sedang mencuba untuk meraih simpati orang ramai.
Mahu melancong ke serata dunia, individu berkenaan memohon agar rakyat Malaysia menampung perbelanjaan percutian mereka.
Bukan kali pertama berlaku, kejadian itu didedahkan oleh seorang pengguna media sosial menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya.
Menurut hantaran pengguna yang bernama Munie Man itu, kejadian tersebut dipercayai berlaku di kawasan Bintulu, Sarawak.
“Hai, kami adalah pelancong dari Rusia yang mengembara di seluruh dunia. Tiada duit. Mohon bantuan untuk tanggung percutian kami,” tulis kadbod itu.
Tular di media sosial, hantaran tersebut telah mengundang perasaan kurang senang di kalangan rakyat Malaysia terutamanya penduduk Sarawak.
Rata-rata pengguna media sosial juga berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap dua individu berkenaan.
“Tiada duit sibuk mahu ‘travel’, ada hati minta belas kasihan orang untuk bagi duit,” kata seorang pengguna.
“PDRM (Polis Diraja Malaysia) Sarawak sila ambil tindakan terhadap dua individu ini,” minta individu lain.
Baca juga: Pukulan ‘smash’ lebih pantas daripada jentera F1, Pearly Tan cipta rekod dunia – “Kalah Chong Wei!”