Dua rakaman memaparkan pengikut ajaran SiHulk telah mengundang perbincangan hangat di kalangan pengguna media sosial baru-baru ini.
Mana tidaknya, pengikut ajaran sesat berkenaan telah membuat pengakuan jahil dengan mendakwa Nabi Muhammad SAW sebagai Tuhan.
Susulan tularnya rakaman tersebut, rakyat Malaysia mula menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan supaya ajaran itu tidak terus tersebar.
Namun begitu, siasatan lanjut oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mendapati rakaman tersebut sebenarnya dibuat di luar negara.
Tindakan pula sukar diambil memandangkan pengikut ajaran SiHulk yang diasaskan Suhaini bin Muhammad itu dipercayai berada di New Zealand.
Berada di luar bidang kuasa JAINJ, ajaran yang dipercayai bermula di Johor itu telah mula difatwakan sesat dan haram di negeri itu sejak Julai 2021.
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid bagaimanapun berkata tangkapan boleh dibuat sekiranya mereka pulang ke negeri terbabit.
“Pengasas dan juga pengikut ajaran sesat Si Hulk ini pengecut, mereka hanya berani mengeluarkan kenyataan sedemikian setelah tidak berada di dalam negara.
“Hasil siasatan mendapati video-video itu dimuat naik dari New Zealand, bila di luar negara mereka di luar bidang kuasa Johor.
Sebab itu tidak boleh ambil tindakan secara perundangan, itu kesulitan yang perlu difahami,” katanya memetik Sinar Harian.
Tidak hanya berdiam diri, JAINJ akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Kerjasama dengan agensi berkenaan bertujuan untuk menyekat penyebaran video-video berkaitan SiHulk sebagai langkah awal penguatkuasaan.
Difahamkan, aktiviti perniagaan air minuman SiHulk telah terhenti pada 2021 setelah kilang yang berada di Johor, Selangor dan Indonesia ditutup.
Oleh yang demikian, peniaga yang masih menjual produk berkenaan diminta berhenti kerana sijil halal air SiHulk telah pun ditarik semula pada 3 Jun 2021.
Baca juga: Belum sedia untuk bersara, Yusof Haslam tak yakin serah syarikat pada anak-anak