‘Influencer’ campur keropok khinzir dalam makanan, restoran terpaksa buang semua pinggan mangkuk

Oleh KIM SYAZIE

Tular sebelum ini mengenai pempengaruh dari Indonesia yang tidak sengaja mencampurkan keropok babi dalam makanan di restoran halal.

Selepas mengetahui perkara tersebut tular, restoran berstatus halal di Pulau Bali te;ah membuat keputusan untuk membuang semua peralatan makanan di premis itu.

Menurut portal Okezone, pempengaruh bernama Jovi Adhiguna sebelum ini merakam videonya menikmati bakso di restoran A Fung Baso, Lapangan Terbang Ngurah Rai.

Video tersebut tular selepas warganet menasihatinya untuk tidak mencampurkan makanan yang halal dan tidak halal.

Disebabkan rasa bertanggungjawab, pengendali restoran tersebut membuang semua peralatan makanan yang dipercayai tercemar dengan keropok itu.

“Kami mengambil serius sijil halal yang dimiliki A Fung Baso. Justeru, kami mengambil langkah terbaik membuang semua peralatan makanan yang ada di A Fung Baso Lapangan Terbang Ngurah Rai Bali,” kata pihak pengurusan di laman Instagram.

Restoran tersebut juga memohon maaf kepada orang ramai yang berasa bimbang berhubung kejadian tersebut.

Pada masa sama, Jovi turut membuat permohonan maaf kepada pihak restoran selepas videonya mendapat kecaman netizen.

“Saya sedang menunggu respons daripada pihak pengendali restoran.

“Sekiranya saya diminta menggantikan peralatan makanan atau apa-apa sahaja, saya pasti akan bertanggungjawab,” katanya.

Baca juga: Suami cadang ambil anak angkat luar negara, rupanya hasil benih dengan wanita lain