Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan memberi ganjaran lumayan kepada individu yang menyalurkan maklumat mengenai barangan lari cukai.
Menawarkan wang tunai sebanyak 10 peratus daripada nilai rampasan, orang awam hanya perlu berkongsi maklumat yang tepat termasuk pelakunya.
Untuk makluman pemberi maklumat, antara barangan yang tersenarai di dalam cukai terbabit ialah rokok, minuman keras dan kenderaan (RMK).
Orang awam juga tidak perlu khuatir kerana pihak JKDM akan merahsiakan identiti pemberi maklumat yang sudi untuk memberi kerjasama.
Memetik laporan BERNAMA, khabar gembira itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1 iaitu Datuk Seri Ahmad Maslan.
“Jika nilai rampasan berjumlah RM1 juta, maka 10% daripada itu iaitu sebanyak RM100,000 akan diberikan kepada pemberi maklumat.
“Memang ada peruntukan untuk pemberi maklumat yang kita akan nilaikan mengikut kategori. Kita harap lebih ramai menghubungi JKDM jika lihat perkara disyaki.
“Kita anggap pemberi maklumat ini sebagai kategori A iaitu apabila JKDM sampai di tempat tersebut boleh terus tangkap pelaku dan barangan yang lari cukai,” katanya.
Menurut Ahmad Maslan, maklumat ini sangat penting bagi JKDM dalam pembasmian aktiviti lari cukai yang bakal merugikan rakyat dan juga negara.
Oleh yang demikian, orang ramai digalakkan untuk menghubungi cawangan JKDM di kawasan masing-masing bagi melaporkan ‘kerja-kerja jahat’ itu.
“Mereka (pemberi maklumat) boleh hubungi JKDM di kawasan masing-masing…tapi jangan pula bagi maklumat palsu.” Jelasnya.
Tambah Ahli Parlimen Pontian itu, tugas dan peranan JKDM bukan hanya mengutip cukai atau hasil untuk negara bahkan untuk menjaga ketenteraman negara.
Difahamkan, pemberian ganjaran itu sebenarnya sudah lama dilakukan pihak JKDM tapi tidak pernah diuar-uarkan untuk pengetahuan umum.
Baca juga: Altimet cuba nasib bertanding dalam PRN Selangor, wakili PKR di DUN Lembah Jaya