Hajat tunai haji lebur, warga emas putih mata duit RM30,000 dimakan anai-anai

Oleh KIM SYAZIE

Hasrat seorang warga emas untuk menunaikan haji terbantut apabila wang simpanan miliknya lebur akibat dimakan anai-anai.

Wang tunai yang berjumlah RM30,000 itu malangnya hanya dikumpulkan di dalam sebuah kotak dan disimpan di rumah begitu sahaja.

Tular di media sosial, kejadian yang berlaku di Rantau Panjang, Kelantan itu didedahkan oleh cucunya, Khairul Azhar akaun Facebook miliknya.

Menurut Khairul, dia sebelum ini tidak mengetahui bahawa neneknya yang berusia 70-an itu mempunyai simpanan yang begitu banyak.

Sejurus mengetahuinya, separuh daripada wang simpanan tersebut segera dihantar ke Bank Negara Malaysia (BNM) dalam usaha menyelamatkannya.

Khairul berharap perkongsiannya itu dapat memberi kesedaran kepada orang ramai khususnya bagi mereka yang gemar menyimpan wang di rumah.

“Hari ini duit yang disimpan oleh nenek saya di kampung untuk tunaikan Haji tahun hadapan sebanyak RM30,000 habis, di makan anai-anai.

“Separuh saya dah serahkan kepada Bank Negara Malaysia, kalau masih ada rezeki. Separuh lagi tidak dapat diselamatkan.

“Bukan rezeki nenek nak ke Mekah. Insya-Allah lain kali ada lagi rezeki. Ini pengajaran untuk kita tidak menyimpan duit di rumah banyak-banyak,” katanya.

Mula mengumpul wang sejak 10 tahun lalu, nenek Khairul meraih pendapatan dengan berniaga keropok dan jumpa mengambil upah mengurut.

Tidak hanya mengandungi wang ringgit Malaysia, matawang asing dari Thailand iaitu Baht juga turut rosak kerana disimpan di dalam kotak tersebut.

Memetik laporan Mstar, wang Bath itu difahamkan dikumpul ketika nenek Khairul berniaga di Rantau Panjang, dekat sempadan Thailand.

“Kami juga dah bawa duit matawang Bath Thailand ke bank negara itu. Tengok macam mana. Kalau ada rezeki, adalah sikit untuk nenek,” katanya memetik Mstar.

Baca juga: Servis PBT ‘perform’, penduduk tiga bandar ini diiktiraf paling bahagia di Malaysia