Sanggup ulang alik 20km setiap hari, bapa rela kutip sampah demi bayar yuran anak

Oleh KIM SYAZIE

Berulang alik sejauh 20 kilometer dengan menaiki motor saban hari tidak pernah mematahkan semangat seorang bapa untuk mencari rezeki.

Tidak memilih pekerjaan, bapa ini sanggup memerah keringat mengutip sisa sampah buangan manusia demi masa depan anaknya.

Riak wajah kelihatan sentiasa mengukir senyuman namun tiada siapa tahu beban yang terpaksa ditanggung lelaki itu.

Pengorbanan bapa yang bernama Basri itu dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok yang memuat naik video tersebut di akaunnya.

Menurut Basri, dia rela melakukan pekerjaan yang mulia itu untuk membayar yuran persekolahan anaknya di sebuah sekolah agama.

Datang dari latar belakang yang tidak berkemampuan, Basri sedar akan kepentingan memberi akses pendidikan yang tinggi buat anaknya.

“Fasal anak nak sekolah, saya tak memilih kerja, janji halal. Yuran sahaja RM 500, (kalau) tak kerja, kasihanlah dekat anak-anak.

“Saya tak pandai, nak bagi anak saya pandai sikit,” katanya yang telah melakukan pekerjaan tersebut selama dua tahun.

Mungkin tidak mampu membayar tambang pengangkutan, isterinya tidak bekerja untuk menghantar anaknya ke sekolah setiap hari.

Semoga anak Basri menghargai pengorbanan ibu bapanya dan dapat mengubah nasib keluarga suatu hari nanti.

Baca juga: Hajat tunai haji lebur, warga emas putih mata duit RM30,000 dimakan anai-anai