Pelakon sensasi, Ellie Suriaty telah mencipta kejutan ketika hadir di dalam majlis pelancaran siri terbaharu buat drama Tanah Kubur, baru-baru ini.
Diadakan di ibu negara pada Selasa lalu, majlis tersebut turut dihadiri oleh bekas suaminya yang juga seorang pelakon iaitu Azri Iskandar.
Majlis itu difahamkan telah merakamkan pertemuan kali pertama di antara Ellie dan bekas suami setelah setahun mereka sah bercerai.
Tidak berdendam, pelakon yang terkenal dengan watak Pah Bedah itu memaklumkan bahawa dia tiada sebarang masalah untuk bersua muka dengan Azri.
Namun difahamkan, mereka sudah tidak lagi berkomunikasi (berhubungan melalui telefon) sejak berpisah pada bulan Mei tahun lalu.
Perkara itu didedahkan menerusi satu sesi wawancara bersama program hiburan, Hlive yang turut dimuat naik di laman Instagram.
“Sebagai seorang artis yang profesional, kami berdua perlu hadir pada pelancaran drama ini. Tapi tidaklah datang bersama dan balik bersama,” katanya.
Menyita perhatian, sesi wawancara berkenaan telah mengundang perbincangan hangat di kalangan pengguna media sosial.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna memuji penampilan Ellie Suriaty yang lebih berseri selepas kembali membujang.
Ramai juga yang menyanjung sikap matang aktres berkenaan dalam menjaga maruah bekas suami walaupun sudah tidak lagi bersama.
“Serius nampak lebih cantik setelah bercerai. Tetapi memang ramai yang macam ini, selepas bercerai terus jadi cantik,” kongsi seorang pengguna.
“Lawa Ellie sekarang, berseri. Bagusnya Ellie, dia matang dalam perhubungan. Langsung tidak buka aib suami.” Puji pengguna lain.
Ellie dan Azri bakal muncul sebagai pelakon undangan di dalam drama bersiri terbaharu, Tanah Kubur yang akan mula bersiaran pada 11 Ogos ini.
Baca juga: Setelah 19 tahun bertunang, Michelle Yeoh akhirnya kahwini bekas CEO Ferrari