Siapa sangka, seorang lelaki sanggup membelanjakan wang sebanyak RM200 ribu hanya untuk membeli sebiji buah durian.
Menyita perhatian ramai, raja buah tersebut dibeli oleh lelaki berkenaan dalam satu acara lelongan yang dihadiri oleh penggemar durian.
Acara yang begitu meriah itu sempat dirakam dan tular di media sosial setelah dimuat naik menerusi satu hantaran oleh seorang pengguna TikTok.
Menurut pengguna TikTok berkenaan, acara tersebut rupa-rupanya diadakan di bandar Sanya yang terletak di selatan pulau Hainan, China.
Difahamkan, ini adalah kali pertama durian yang ditanam di bandar Sanya dijual kepada orang ramai, lapor akhbar tempatan, Oriental Daily.
Harga bidaan durian seberat 6.91 kilogram (kg) itu mulanya hanya dijual pada harga pembukaan RMB888 (renminbi China) bersamaan RM565.66.
Majlis lelongan tersebut semakin meriah apabila seorang pembida menawarkan wang sebanyak RMB10,000 (RM6,370.05) untuk sebiji durian itu.
Lelongan tersebut kemudian dirancakkan lagi dengan penyertaan beberapa pembida yang menaikkan harga sehingga mencecah RMB30,000 (RM19,110.14).
Tidak terhenti disitu, lelongan tersebut terus dijalankan sehingga harga bidaan meningkat berlipat ganda iaitu sebanyak RMB300,000 (RM190,936.14).
Menerima sorakan dari orang ramai, durian itu akhirnya berjaya dimiliki oleh seorang pembida yang menawarkan harga RMB388,888 (RM247,509.25).
Julung kali diadakan, penganjur turut mengakui terperanjat dengan sambutan menggalakkan yang diterima mereka daripada pengunjung.
Sebagai tanda penghargaan, pihak penganjur sempat mengucapkan terima kasih kepada para pembida kerana sudi mengeluarkan wang mereka.
Baca juga: Niaga dari rumah tingkat 15 demi sara adik OKU, Ayam Kipuk Viral ‘dibungkus’ DBKL