Dua jiran bergaduh siap utus surat, kecoh cari pemilik sebenar spenda yang jatuh

Oleh KIM SYAZIE

Pasal spenda pun boleh bergaduh, alahai jiran! Macam-macam ragam apabila kita hidup berjiran ini ya. Ada kalanya timbul salah faham yang boleh mengeruhkan hubungan jiran tetangga.

Tetapi kisah yang satu ini benar-benar berlaku melibatkan sebuah kondominium yang difahamkan di Singapura. Pun begitu, ini berkenaan seorang individu yang ‘fed-up’ disebabkan jirannya membuang seluar dalam di hadapan rumahnya.

Awalnya, individu yang menghuni rumah di bawah menghantar surat layang kepada penghuni di atas yang disangka pemilik ‘sampah’ berkenaan.

Dalam surat itu, individu berkenaan meminta jasa baik agar jiran di atas berhenti membuang sampah ke bawah.

Dia juga menasihatkan agar lebih bertamadun dan menghormati orang lain jika mahu hidup berjiran.

“Rumah kami bukan tempat pembuangan sampah. Tolong jadi bertamadun dan menghormati orang lain. Kami percaya anda ada tong sampah sendiri untuk buang sampah anda,” tulis jiran tersebut.

Surat layang itu kemudian mendapat balasan daripada jirannya yang menafikan ‘sampah’ itu milik mereka.

Bahkan jirannya itu juga mengatakan individu tersebut membuat tuduhan yang salah kerana seluar dalam itu sah bukan milik mereka.

Mereka juga bahkan memberitahu tidak mengenali item tersebut.

“Saya rasa anda tuduh orang yang salah. Ini bukan barang dari unit saya. Saya tidak mengenali item ini dan kiriman di peti surat yang anda tinggalkan dan tujukan pada kami adalah salah dan bukan barang kami pun.

“Saya harap selepas ini mungkin pihak tuan boleh selidik dulu dari mana ‘sampah’ ini datang dan bukan terus tuju unit kami,” ujarnya.

Apa yang melucukan, individu yang dipercayai pemilik sebenar seluar dalam itu akhirnya muncul bagi mendamaikan kedua-dua pihak selepas mengetahui “persengketaan” yang berlaku.

“Maaf sangat abang-abang gaduh sebab seluar dalam saya.

“Cerita sebenarnya adalah saya jemur seluar dalam saya pada waktu siang, malangnya angin sangat kuat dan menyebabkan seluar dalam saya terbang ke unit mangsa 9-XX.

“Lagipun saya tahu seluar dalam Uniqlo saya hilang pada hari kedua. Bukan salah unit 9-XX, bukan salah 10-XX, salah angin kuat.

“Kesimpulannya, sebagai tanda kemaafan saya, saya ingin menjemput abang-abang unit 9-XX dan 10-XX untuk makan malam KFC yang percuma,” tulisnya, menyertakan nombor telefon untuk dihubungi.

Pengajarannya, bersangka baiklah.

Baca juga: Niaga dari rumah tingkat 15 demi sara adik OKU, Ayam Kipuk Viral ‘dibungkus’ DBKL