Kecoh budak kena culik depan sekolah, rupanya mak mentua dengan bekas menantu berebut anak

Oleh KIM SYAZIE

Tahun lalu kecoh sekejap dengan insiden seorang murid perempuan dikatakan telah dilarikan seorang wanita di hadapan sebuah sekolah di Kepala Batas.

Berdasarkan video yang tular di media sosial ketika itu, kelihatan dua wanita sedang berebut seorang anak kecil.

Dapat dilihat pergelutan yang agak teruk berlaku sehinggakan seorang wanita yang dipercayai neneknya tersembam di atas jalan kerana ingin menyelamatkan cucunya.

Bagaimanapun polis mengesahkan insiden seorang murid perempuan yang dilarikan di hadapan sekolah di Pulau Pinang itu bukan kes culik seperti didakwa rata-rata warganet.

Media melaporkan, kes tersebut tiada kaitan dengan cubaan menculik sebaliknya kes perebutan hak penjagaan anak melibatkan seorang wanita dan bekas menantu perempuannya.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Radzi, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang menyatakan cucunya berusia sembilan tahun dilarikan bekas menantunya menaiki sebuah kereta ketika pulang dari sekolah.

Dalam kejadian ini, pengadu (nenek mangsa) yang mengalami kecederaan datang ke balai polis untuk membuat laporan bagi siasatan selanjutnya.

Suspek (bekas menantu) juga membuat laporan polis menyatakan anaknya kini selamat berada di bawah jagaannya dan menyerahkan perkara ini kepada pihak peguam serta polis bagi menjalankan siasatan.

Hasil siasatan awal mendapati perebutan hak penjagaan ini berlaku sejak ibu dan bapa kanak-kanak itu berpisah pada 2013 dan proses tuntutan hak penjagaan masih lagi dalam perbicaraan di mahkamah.

Baca juga: “Awak asal Kelantan?” – Lelaki pelik wanita jadikan negeri sebagai alasan tak mahu berkawan