Seorang ibu berdepan dengan detik cemas apabila bayi yang baru dilahirkannya pada tiga hari lalu tiba-tiba mengalami kesukaran untuk bernafas.
Terperanjat saat melihat bibir anaknya sudah bertukar kebiruan, wanita itu segera mengejarkan bayi tersebut ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Rupa-rupanya, bayi berusia tiga hari itu sukar bernafas akibat tersedak air kosong yang diberi oleh neneknya sendiri.
Khuatir sekiranya cucu kelaparan, sang nenek bertindak memberikan air kosong kepada bayi itu kerana menantunya belum mengeluarkan susu.
Segera dirawat dengan memberikan bekalan oksigen, pakar perubatan mendapati air tersebut telah masuk ke dalam paru-paru bayi berkenaan.
Untungnya, bayi tersebut berjaya diselamatkan setelah bertarung nyawa selama 16 hari di dalam Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
Tular di media sosial, video menyayat hati yang merakamkan keadaan bayi malang itu telah dimuat naik oleh seorang jururawat di laman TikTok.
Dipercayai berlaku di negara seberang, Indonesia, video tersebut dikongsi jururawat itu dengan harapan dapat memberikan kesedaran kepada orang awam.
Boleh membawa maut, petugas kesihatan itu menasihati penjaga untuk tidak memberikan bayi segala jenis minuman kecuali susu ibu.
“Tolonglah ibu yang baru melahirkan atau ahli keluarga, jangan beri bayi minum air putih atau apa-apa air selain susu.
“Banyak kali kejadian seperti ini berlaku. Baru lahir anak diberi air putih lalu tersedak, sehingga menyebabkan sukar bernafas,” katanya.
Baca juga: Lelaki sembunyikan harta RM64 juta, bekas isteri tak sedar suami berstatus jutawan