Dihuni wanita cantik bak bidadari, ini rahsia tersembunyi Lembah Hunza di Pakistan

Oleh WAN SITI AMINAH

Terletak di bahagian utara wilayah Gilgit-Baltistan di Pakistan, Lembah Hunza adalah kawasan pergunungan terpencil yang dikelilingi puncak bukit bersalji.

Menyimpan sejuta rahsia tersembunyi, Lembah Hunza dikatakan menjadi tempat tinggal para wanita cantik yang memiliki rupa paras bagai bidadari.

Namun, pengunjung dari luar jarang diberi kesempatan untuk beramah mesra dengan wanita kerana dilindungi oleh penduduk lembah.

Tidak hanya kelihatan awet muda, wanita yang menghuni Lembah Hunza juga dilaporkan masih mampu melahirkan zuriat pada usia 65 tahun.

Mengekalkan tradisi turun temurun, penduduk wilayah terpencil itu berjaya tampil menarik tanpa mendapatkan rawatan di pusat kecantikan.

Penghuni wilayah majoriti Islam itu juga rata-ratanya memiliki umur yang panjang dan kekal sihat walaupun sudah lanjut usia, lapor tvOnenews.

Memiliki tubuh badan yang cergas, sebahagian besar masyarakat Hunza rupa-rupanya mengamalkan pemakanan sihat yang berasaskan sayuran.

Tidak menggunakan minyak untuk memasak, makanan seharian mereka adalah hidangan berkhasiat yang diperbuat daripada bijirin, chapati, dan roti.

Dijadikan sebagai pencuci mulut, etnik Hunza juga sangat gemar menyantap buah-buahan seperti aprikot, ceri, anggur, plum dan pic.

Masih menjamah makanan berasaskan daging, hidangan itu bagaimanapun hanya akan dimasak pada waktu-waktu tertentu sahaja.

Selain itu, aspek geografi Lembah Hunza yang terletak di kawasan pergunungan juga menjadi faktor penyumbang mengapa penduduk boleh tampil segar dan sihat.

Bebas daripada pencemaran udara dan hidup bersederhana, masyarakat tempatan juga boleh menjalani hari-hari tanpa sebarang tekanan.

Selain itu, permukaan lembah yang berbukit bukau juga membenarkan masyarakat Hunza untuk berolahraga ketika melangkah keluar rumah.

Pihak National Geographic juga pernah melakukan penyelidikan yang meneliti tahap kesihatan melibatkan penduduk wilayah Lembah Hunza.

Mengejutkan, mereka mendapati masyarakat tersebut memiliki tubuh badan yang sihat bertenaga serta hampir bebas daripada penyakit berbahaya.

Baca juga: Hanya tayang ketiak berbulu, wanita berjaya raih pendapatan lebih RM200,000 sebulan