Banyak tonton video di Youtube, penjenayah berjaya selamatkan diri berulang kali sebelum ditahan

Oleh MAISARAH AISYA

Pelbagai jenis video dapat dilihat di Youtube, bermula daripada cara memasang tie hinggalah video jenayah, ia juga percuma untuk dilihat.

Itulah taktik digunakan suspek kes curi di Thailand selepas membuat pendedahan bagaimana dia selalu lolos daripada ditangkap polis.

Menurut TheThaiger, lelaki tersebut menonton video cara polis mengendalikan strategi untuk setiap operasi tangkapan di YouTube.

Nattawut Jirawatwanich memaklumkan video ditonton itu membantunya membuat rancangan untuk mengelak dicekup pihak berkuasa.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Hasil usaha pegawai Balai Polis Sai Noi melakukan pencarian intensif selama tiga tahun, lelaki tersebut akhirnya ditahan.

Nattawut dilaporkan telah mencuri aset dari dua rumah mewah, pada 6 Ogos.

Inilah penyebab dirinya ditahan apabila pegawai berjaya mengesannya dan dia ditahan di kondominium didiaminya, pada 10 Ogos lalu.

Dalam serbuan dilakukan, polis menemui beberapa aset yang dicuri, seperti cincin perak dan jam tangan.

Rupa-rupanya Nattawut melakukan jenayah itu secara berselindung dan pada waktu malam.

Caranya mengelak dirinya ditahan adalah dengan menyamar menjadi petani, pemilik ladang katak, tukang kebun, nelayan, dan beberapa pekerjaan lain

Ia adalah untuk memerhati dan mendapatkan maklumat sebelum melakukan kecurian dan taktik penyamaran itu digunakan untuk mengelirukan polis.

Nattawut akhirnya mengaku melakukan perbuatan itu dan memaklumkan pegawai bahawa dia membelanjakan harta hasil curi untuk membeli loteri.

Pencuri itu mendedahkan bahawa dia menukar pakaian dan keretanya setiap kali melakukan jenayah.

Baca juga: Baru tahu air rendaman bendi boleh turunkan kolestrol, rupanya senang je nak buat!