Khairul Aming sanggup buat kerja dapur, tak kisah jika bakal isteri tak pandai masak

Oleh WAN SITI AMINAH

Selebriti media sosial terkenal, Khairul Aming mengaku tidak pernah menetapkan syarat-syarat tertentu pada wanita untuk dijadikan calon isteri.

Malah, lelaki yang berusia 31 tahun itu boleh menerima takdir jika dipertemukan jodoh dengan gadis yang tidak mempunyai kemahiran memasak.

Berfikiran terbuka, pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman itu juga bersedia untuk menggalas segala tanggungjawab di dapur.

Menurut Aming, tidak menjadi kesalahan jika seseorang wanita itu kurang pandai memasak kerana ruang untuk belajar sentiasa terbuka.

Aming juga langsung tidak keberatan untuk mengajar bakal isterinya kemahiran memasak jika itu yang dimahukan oleh wanita tersebut.

Memetik laporan Mstar, perkara tersebut dikongsi Aming ketika menghadiri sidang media Anugerah TikTok 2023 di Godown Arts Center, Kuala Lumpur.

“Jadi untunglah dia (bakal isteri) tak perlu masak. Biar saya yang ke dapur. Sejak kecil saya memang suka memasak, tiada masalah.

“Kadang-kadang dekat rumah, mak saya tidak memasak. Saya yang masak! Saya tidaklah sampai nak ‘interview’ bakal isteri sama ada dia pandai masak atau tidak.

“Benda boleh belajar. Kalau saya boleh kongsi video ajar orang memasak, jadi dia (bakal isteri) pun boleh belajar juga. Tiada masalah,” katanya.

Aming bagaimanapun masih belum bersedia untuk menamatkan zaman bujang kerana terlalu sibuk menguruskan dua kerjaya dalam satu masa.

Mahu fokus terhadap karier terlebih dahulu, anak kelahiran Kelantan itu tidak akan merahsiakan pada umum jika dia memutuskan untuk berkahwin.

Selain mencipta kandungan (content) di media sosial, Aming juga bergelar usahawan setelah berjaya membuka dua kilang di Kelantan dalam masa tiga tahun.

“Buat masa ini saya belum bersedia untuk mencari pasangan kerana saya masih penat mengimbangkan dunia content creator dan urusan perniagaan.” Akuinya.

Baca juga: Kahwin hanya 2 tahun, jutawan minta bekas isteri pulangkan aset RM56 juta