Lantang bahas isu poligami, isteri Caprice dikirim bungkusan hitam misteri – Pengecut!

Oleh WAN SITI AMINAH

Isteri penyanyi rap sensasi, Caprice iaitu Farra Inalis mula meraih perhatian setelah tampil membahas isu poligami melibatkan selebriti sosial media, Abang Tesla.

Penampilan wanita yang lebih mesra dikenali sebagai Elis itu dikatakan sangat dikagumi oleh para pengguna media sosial terutamanya dari golongan wanita.

Namun, Caprice baru-baru ini telah mengejutkan orang ramai setelah membuat satu pendedahan mengejutkan mengenai pengalaman misteri yang dialami oleh isterinya.

Pemilik nama sebenar Ariz Ramli itu memaklumkan bahawa Elis menjadi mangsa gangguan pelik apabila menerima satu bungkusan hitam yang misteri.

Caprice percaya Elis telah dijadikan sasaran kerana pihak tidak bertanggungjawab tersebut hanya meletakkan bungkusan berkenaan di atas kenderaan isterinya.

Menyifatkan kejadian itu sebagai satu ancaman terhadap keselamatan keluarga, Caprice yakin perbuatan tersebut sengaja dilakukan dengan niat yang tidak baik.

Lelaki berusia 35 tahun itu bagaimanapun hairan bagaimana tempat letak kereta itu boleh diceroboh sedangkan lokasi perumahannya tidak pernah didedahkan.

Tular di media sosial, penemuan bungkusan tersebut sempat dirakam dan dikongsi Caprice menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya.

“Saya tak tahu ini siapa dan bagaimana dia tahu kami tinggal di mana. Tempat ini sangat-sangat privasi dan kami tak pernah dedahkan kami tinggal di mana.

“Bagaimanapun, seseorang letak sesuatu di kereta isteri saya. Kereta lain tiada masalah. Saya percaya isteri saya jadi sasaran. Ini tak kelakar dan tak lawak dah. 

“Ini sudah tahap mengganggu keselamatan keluarga saya. Siapa yang buat kerja jijik ini memang pengecut,” katanya.

Menerusi hantaran video tersebut, Caprice mendapatkan bantuan daripada seorang pegawai keselamatan untuk membuka dan memeriksa bungkusan hitam tersebut.

Pihak berkuasa juga difahamkan telah hadir ke kediamannya untuk menjalankan siasatan lanjut selepas Caprice melaporkan kejadian misteri tersebut.

Caprice juga menggesa pelaku berkenaan untuk tampil bersemuka dengan dirinya sekiranya ada perasaan tidak berpuas hati terhadap Inalis.

“Kalau kau ada ‘telur’, cari saya! Kalau ada yang tak puas hati dengan isteri saya, cari saya!” Tegas lelaki yang ingin melindungi pasangannya itu.

Baca juga: Kecoh isu kahwin dua demi anak, jurumakmal dedah sperma lelaki lokal tak berkualiti