“Kena sembelih”, ‘banker’ dedah taktik licik bank raih untung melalui pinjaman peribadi

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pekerja bank tempatan membuat keputusan untuk mendedahkan taktik licik institusi kewangan tersebut meraih untung menerusi tawaran pinjaman.

Hal ini kerana, pekerja berkenaan sudah tidak sanggup melihat rakyat Malaysia terus ditindas dengan polisi bank yang hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja.

Sudah 10 tahun bergelar pekerja bank, individu yang enggan dikenali itu ingin berkongsi pengetahuan kewangan dengan pembaca mengenai sistem ‘Rule of 78’.

Walaupun sistem ini menindas pelanggan, ia diperakui sah di sisi undang-undang dan diguna pakai oleh institusi perbankan di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Umumnya dikaitkan dengan pinjaman peribadi, sistem Peraturan 78 ini malangnya turut dipakai dalam penawaran pembiayaan oleh institusi perbankan Islam.

Menurut individu berkenaan, masalah tersebut sering menjerat rakyat Malaysia yang terpedaya dengan tawaran pekerja bank melibatkan ‘rate’ pinjaman rendah.

“Masalah hutang orang kita adalah Penindihan Pinjaman Peribadi atau Financing. Mereka fikir mereka telah berjimat apabila bank menawarkan rate lebih rendah untuk pinjaman baharu.

“Sedangkan, itu adalah kerugian yang jelas kerana pinjaman lama memiliki servis principal pada nisbah yang rendah walaupun rate pinjaman baharu lebih rendah.

“Hal ini kerana, pinjaman baharu telah menyebabkan rule of 78 yang mulakan semula kadar nisbah faedah (interest) dengan nilai keuntungan yang tinggi.

“Perkara ini akan berulang kali berlaku, bertindih kerana faktor pujukan pegawai bank menawarkan kadar yang semakin kompetitif. Boleh jadi setiap 3 tahun bertindih dengan pinjaman daripada bank yang berbeza. 

“Dari pinjaman pertama yang sepatutnya habis dalam masa 10 tahun, sedar tak sedar, sudah bersara pun belum tentu habis. Orang-orang kita hidup dalam kerugian.

“Dalam kertas nampak jimat 0.10%, walhal kena sembelih portion faedah tinggi sebab mulakan semula pinjaman baharu,” kongsi individu berkenaan.

Berdasarkan Peraturan 78, jumlah bulanan faedah/keuntungan yang perlu dibayar oleh peminjam adalah seperti berikut

Tular di media sosial, perkongsian pekerja bank itu dimuat naik menerusi satu hantaran di kumpulan Facebook yang menggunakan nama Bebas Hutang.

Peraturan 78 ini adalah sistem digunakan bank untuk mengira jumlah faedah (perbankan konvensional) dan kadar keuntungan (perbankan Islam) yang di kenakan kepada peminjam.

Peraturan ini juga di kenali dengan nama kaedah jumlah digit (sum of digits). No 78 adalah jumlah ansuran untuk setahun iaitu 1+2+3+4+5+6+7+8+9+10+11+12 = 78.

Pada 15 April lalu, Bank Negara Malaysia telah mencadangkan supaya Peraturan 78 ini dimansuhkan selain beberapa cadangan penambahbaikan lain.

Baca juga: ‘Terjumpa’ wang tunai RM23k, lelaki siap simpan beg walhal ada logo bank, terkejut apabila ditahan polis