“Masa kahwin abang pinjam duit ayah RM10k, siap minta bayarkan kereta takut kena tarik, tapi bila ayah minta balik…”

Oleh MAISARAH AISYA

Pengorbanan ibu bapa sering disia-siakan oleh anak-anak yang tidak pandai menghargai kesusahan orang tua untuk membesarkan mereka.

Apatah lagi zaman kini semua dah menghalalkan pasangan dengan cepat sehingga sanggup meminjam duit mak ayah.

Lebih menyedihkan kebanyakan ibu bapa sedar mereka tidak akan menerima balik duit yang ‘dipinjam’ itu.

DI bawah adalah perkongsian seorang wanita mengenai abangnya yang meminjam duit ayah mereka namun bila ada kecemasan satu sen pun tak dihulurkan.

“Aku cuma nak kongsi kisah aku sebagai anak bongsu dalam keluarga, berkenaan kakak-kakak ipar yang mengadu mak atau bapa mentua minta duit belanja bulanan dari anak lelaki (suami mereka).

Kisah anak lelaki yang jadi “sandwich” kena himpit oleh anak dan isteri dan mak bapak. Dalam keluarga, abang-abang aku semua dah kahwin awal, umur awal 20-an dah kahwin.

Mereka pilih untuk kahwin masa mak ayah aku masih muda sihat dan bekerja maksudnya ada duit simpanan banyak.

Kahwin pun mak ayah aku sponsor semua. Sebab mak ayah aku faham anak-anak baru mula keja takde duit simpanan.

Lepas masa berlalu, dah lebih 20 tahun mereka berkahwin dan beranak pinak, mak ayah aku pun dah tua selalu sakit duit simpanan pun dah menipis.

Waktu inilah mak ayah aku minta abang-abang aku tolong belikan ubat, bayar bil telefon dan baiki kereta sekali sekala.

Ayah aku bekas pekerja swasta jadi tak ada duit pencen, maka faham-fahamlah. Sebelum tu mak ayah tak adapun minta-minta mereka.

Guna sahaja simpanan mereka siap boleh tolong bayarkan lagi kereta abang aku default payment untuk beberapa bulan.

Aku pun dah kerja beberapa tahun jadi aku boleh la support mak ayah sikit-sikit tapi kalau semua nak harap aku, memang hilang la keikhlasan tu.

Aku nampak abang-abang aku ni macam selesa sebab aku bujang tak kahwin lagi konon tak ada komitmen padahal akulah yang kena ambil cuti bila ayah masuk wad.

Tengah-tengah malam ayah kena serangan asma dan COPD aku bawa pergi kecemasan, balik rumah pukul 5 pagi, pukul 7 dah siap nak pegi kerja.

Tiap-tiap bulan aku belanja lebih kurang RM1000 untuk mak ayah, tu tak termasuk bawak jalan-jalan dan makan kat luar, pergi kenduri seaudara-mara, kematian semua aku yang bawa.

Bila tanya abang, abang guna nama bini cakap kereta bini dia punya. Adalah jugak sekali sekala mereka ikut tapi minyak kereta dengan tol ayah yang bayar. Kalau aku bawa, akulah yang bayar tol minyak, makan dekat RNR semua.

Okay berbalik kepada isu kakak ipar yang terasa tersakiti ni, abang aku pernah pinjam duit ayah aku RM10,000 masa anak-anak dia kecil lagi pastu dia janji nak bayar hutang ayah RM300 sebulan lepas dia naik pangkat.

Mak ayah pun beriya la mendoakan abang aku ni naik pangkat cepat, Allah pun kabulkan tak lama lepas tu. Tapi, cuba teka? Sampai sekarang abang tak bayar balik, senyap gitu je.

Kakak ipar aku pulak dapat tahu baru-baru ni ayah selalu minta duit kat abang belikan ubat etc, kakak ipar secara indirectly cakap kat aku mak bapa tak boleh minta duit kat anak-anak.

Aku dalam hati rasa nak mengamuklah dekat kakak ipar aku ni. Aku diam tak balas apa-apa masa tu sebab hal abang aku pinjam duit mak ayah aku ni kakak ipar aku tak tahu sebab ayah aku suruh rahsiakan konon tak nak rumahtangga anak dia berantakan.

Bab ni bagi aku salah ayah aku kenapa la nak rahsiakan bagitau je la biar kakak ipar aku ni tau dia hidup dengan duit yang ayah aku jugak bagi.

Kahwin dulu dah percuma, kereta default payment ayah aku bayarkan kalau tak kena tarik.

Aku tengok abang aku ni memang gagal bab pengurusan kewangan. Aku ingat lagi mereka laki bini kerap bertukar handphone setiap kali anniversary diorang.

Perlu ke bertukar handphone kalau dah makan pun cukup-cukup anak beranak?

Sekarang ni mak ayah banyak bergantung kat aku, aku mulanya okay tapi aku tanya ayah kenapa tak minta balik duit yang abang pinjam tu?

Ayah cakap ayah malu nak mintak duit ayah balik. Aku macam #$&@$# (nak marah kena sabar).

Disebabkan abang aku yang berhutang dengan ayah taknak bayar, aku kena keluar duit poket extra untuk mak ayah.

Aku rasa aku yang jadi sandwich sebenarnya kat sini. Aku dah la bongsu, tapi beban semua kat aku. Abang aku tak cukup duit pun pinjam aku, memang tak bayar balik pun.

Aku ni yang menanggung diri sendiri, mak ayah sakit aku tanggung, aku sakit pun aku tanggung sendiri.

Masa perintah kawalan pergerakan (pkp) dulu, aku kena demam denggi dan chikungunya, sakit satu badan azabnya hanya Allah dan orang pernah kena sahaja tahu.

Masa tu warga emas tak boleh keluar, sebab golongan berisiko, aku lah yang kena keluar beli barang keperluan dalam keadaan sakit sendi, sakit otot yang teramat sakit.

Tapi terpaksa aku gagahkan jugak. Aku runsing sebenarnya dengan cara mak ayah aku didik anak lelaki mereka.

Mereka tak ada rasa tanggungjawab nak bayar hutang kat mak ayah. Aku tengok abang-abang aku banyak lebihkan bini dengan anak je.

Padahal tanggungjawab jaga mak bapak tu tanggungjawab semua anak. Aku faham je sekarang banyak isteri yang sama-sama keluarkan duit untuk rumahtangga, tapi kakak ipar sekalian tahu tak kedudukan kewangan suami korang sebelum korang berkahwin?

Korang tau tak suami korang berhutang dengan mak bapak dan adik beradik yang lain untuk menanggung kehendak korang yang nak barang kemas dan minum starbucks tu?

Aku yang bujang gaji RM4k ni pun tak minum starbucks, pernah beli sekali je sebab nak rasa air orang kaya.

Aku ni anak bongsu, pendapat aku memang tak ada siapa endah. Tapi bila ada yang tak cukup duit, pandai pulak cari adik yang bujang atau anak yang bongsu ni kan?

Aku pernah terpikir nak duduk rumah asing dengan mak ayah, sebab aku tengok masing-masing selesa bila aku duduk dengan mak ayah.

Bila balik beraya pun dah jadi keja aku la kemas rumah basuh pinggan dari pagi sampai malam sebab abang-abang ni sekali sekala balik so kena layan la ‘tetamu’.

Tapi, asal nak keluar masa tulah ayah kena masuk wad. Dah keluar wad pun, kena berehat kat rumah tak boleh keluar.

Mak aku tak reti bawa kereta, aku yang kena uruskan keperluan kat rumah beli makanan dan barang basah semua.

Aku penat.. Bila mak ayah pun tak berani tegur anak-anak lelaki yang dah kahwin, aku la yang kena tanggung semua beban.”

Memang benar ibu bapa tidak boleh minta kembali wang yang digunakan untuk membesarkan tapi kalau anak tu sendiri dah berhutang maka fikirlah.

Ingat hutang itu wajib bayar walaupun pemberi hutang tidak pernah meminta. Hidup tenang ke kalau sedar duit semua adalah hasil penat lelah orang lain.

Baca juga: Bakal suami lari dari majlis, pengantin perempuan terpaksa nikah dengan bapa mentua