Dakwaan Abdullah meninggal palsu, Abdur Rahman dedah adik makin pulih – “Alhamdulillah, dah sedar”

Oleh WAN SITI AMINAH

Remaja lelaki bernama Abdullah yang terselamat dalam kemalangan jalan raya hingga mengorbankan enam nyawa pada Jumaat lalu dilaporkan mulai sedar.

Menunjukkan perkembangan positif selepas berada dalam keadaan kritikal sejak hari kemalangan, khabar baik itu dimaklumkan abangnya, Abdur Rahman Amir Ruddin.

Malah, remaja berusia 15 tahun yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat, Johor itu sudah mampu menggerakkan anggota tangan miliknya.

Memetik laporan Berita Harian, Abdullah yang sudah sedar itu bakal menjalani satu lagi pembedahan pada 16 September ini bagi memasukkan besi di tangan.

“Alhamdulillah, adik dah sedar dan boleh menggerakkan tangan. Paling menggembirakan bila adik pegang tangan ahli keluarga kami ketika melawatnya di ICU, kami bersyukur dengan perkhabaran gembira itu.

“Sejak hari pertama kejadian, kami sentiasa berdoa semoga adik cepat sembuh kerana kami takut kehilangan seorang lagi ahli keluarga.

“Saya dimaklumkan, kebanyakan wayar yang dipasang di tubuhnya sudah dicabut,” kata Abdur Rahman memetik Berita Harian.

Terdahulu, berlaku satu kemalangan ngeri di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan membabitkan lima kenderaan termasuk treler membawa muatan pasir.

Kemalangan itu meragut nyawa ibu mereka, Noorahimah Noor Muhamad, 43, bapa, Amir Ruddin Ismail, 46, serta empat adik beradiknya Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Kemalangan tersebut terjadi pada jam 6.30 petang ketika mereka dalam perjalanan menghantar Noorahimah yang bertugas di Sekolah Agama Kemedak di Segamat.

Baca juga: Satu kilang huru hara, ratusan pekerja dirasuk gara-gara staff basuh cincai tuala wanita kotor