Aksi Tengku Muhammad ‘main sembunyi’ curi perhatian rakyat Sabah – “Comel bah!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Kunjungan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Sabah telah menjadi topik hangat di negara ini. 

Mana tidaknya, saban hari ada sahaja rakaman mencuit hati yang dimuat naik oleh pengguna media sosial berhubung Kembara Kenali Borneo yang mula dijalankan di Sabah pada Ahad lalu itu.

Difahamkan, Yang di-Pertuan Agong memulakan jelajah tersebut dari Tawau, Sabah menuju ke Telok Melano, Sarawak sejauh 2,154 kilometer di Titik 0.0 KM Tawau.

Salah satu lokasi yang dikunjungi adalah Lahad Datu di mana baginda ditemani anakandanya, Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tengku Muhammad Iskandar adalah putera kepada Sultan Pahang yakni pewaris takhta yang kedua dalam susur galur pewarisan takhta singgahsana kerajaan negeri tersebut.

Satu rakaman tular yang memaparkan aksi mesra dan keramahan Tengku Muhammad Iskandar bersama warga Lahad Datu telah menawan hati pengguna media sosial.

Mencuri perhatian, anakanda baginda itu sempat bergurau senda dengan bersembunyi dan bermain ‘cak-cak’ bersama rakyat Sabah daripada balkoni sebuah bangunan.

Tular di media sosial, rakaman tersebut dikongsi oleh seorang pengguna media sosial menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok milik @zulsurianiey.

Bersama kapsyen “comel-comel bah. Sporting betul anak YDPA (Yang di-Pertuan Agong) layan orang-orang Lahad Datu”, video itu telah meraih hampir setengah juta penonton.

Seperti dijangka, ruangan komen dipenuhi dengan kata-kata pujian masyarakat terhadap sikap Tengku Muhammad yang sangat peramah dan berjiwa rakyat itu.

Oleh kerana Kembara Kenali Borneo itu bakal diteruskan di Sarawak, penduduk daripada negeri itu juga sangat teruja untuk menyambut kehadiran baginda sekeluarga.

“Orang Lahad Datu rasa bahagia bila berhadapan dengan keluarga Diraja Pahang. Terima kasih kerana sudi melawat Sabah,” kongsi seorang pengguna.

“FYP TikTok minggu ini semua dari orang Sabah. Tumpang gembira juga kita. Tak sabar nak tunggu Agong sampai Sarawak.” Kata pengguna lain yang merupakan penduduk negeri Kenyalang itu.

Hari ini merupakan hari terakhir Kembara Kenali Borneo menjelajah Sabah sebelum Pasangan Diraja itu dijadualkan meneruskan perjalanan menuju ke Sarawak pada petang nanti.

Kembara yang dijalankan dari 3 hingga 13 Sept ini bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Baca juga: Dakwaan Abdullah meninggal palsu, Abdur Rahman dedah adik makin pulih – “Alhamdulillah, dah sedar”