Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tidak dapat menahan sebak dengan sambutan luar biasa daripada rakyat negeri Sabah.
Mana tidaknya, penduduk Sabah sanggup menunggu di sepanjang jalan dalam hujan lebat untuk menyapa keluarga Diraja ketika Kembara Kenali Borneo baru-baru ini.
Tular di media sosial, rakaman memaparkan wajah Permaisuri Agong yang sedang mengalirkan air mata itu dimuat naik di laman Instagram Istana Negara.
Video tersebut kemudian mula meraih perhatian ramai setelah dikongsi dan dimuat naik semula di pelbagai platform media sosial termasuklah TikTok.
“Tengok ini, orang ramai masih menunggu baba dan mama walaupun hujan lebat. Walaupun dalam kereta basah kerana hujan, rakyat di luar lebih basah sebab hujan lebat.
“Mama menangis lagi hari ini. Tengoklah, dalam keadaan hujan lebat, masih ramai yang menunggu, semuanya basah,” titahnya di dalam video yang dirakamkan sendiri oleh baginda.
Menerusi video tersebut, Raja Permaisuri Agong juga sempat menunjukkan baju baginda yang separa basah kerana membuka tingkap ketika menyapa rakyat Sabah.
Menzahirkan rasa tersentuh hati dengan semangat rakyat negeri itu, Tunku Azizah juga sempat mendoakan agar rakyat Sabah tidak jatuh sakit kerana berdiri di dalam hujan.
“Sabah ‘menangis’, saya juga turut menangis, rakyat menangis, langit menangis tetapi mereka masih tetap di luar sana dalam hujan lebat. Terima kasih banyak-banyak.
“Tuanku (Al-Sultan Abdullah) dan saya akan mengenang perkara ini sepanjang hayat. Kami minta maaf dan rasa bersalah kepada rakyat yang menunggu di luar sana dalam hujan kerana kami tidak boleh keluar dan bertemu dengan mereka.
“Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas. Tuanku dan saya doakan semua orang tak sakit, tak demam sebab tunggu dalam hujan begitu lama,” titah Tunku Azizah lagi.
Difahamkan, video tersebut merakamkan penjelajahan terakhir Kembara Kenali Borneo di negeri Sabah, kelmarin sebelum perjalanan diteruskan ke bumi Kenyalang.
Kembara yang dijalankan dari 3 hingga 13 Sept ini bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.
Baca juga: Aksi Tengku Muhammad ‘main sembunyi’ curi perhatian rakyat Sabah – “Comel bah!”