Ustaz Azhar perjelas koleksi tudung isteri dikira harta pusaka dan tak boleh disedekah jika meninggal, perlu difaraid

Oleh KIM SYAZIE

Menurut pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus, koleksi tudung milik isteri dan segala pakaiannya tidak boleh disedekahkan kepada orang luar jika si isteri meninggal dunia.

Beliau berkata demikian dalam ceramahnya baru-baru ini sebagai menjawab soalan seorang lelaki yang bertanya bolehkah sekiranya seorang suami melepaskan koleksi tudung milik isteri kepada orang luar jika si isteri sudah meninggal.

Menurut lelaki berkenaan, isterinya memiliki kira-kira 164 helai tudung dalam simpanan. Selepas membuat pengiraan tersebut, timbul pertanyaan di mindanya apa yang harus dilakukan dengan koleksi tudung tersebut andai isterinya meninggal dunia.

“Adakah tudung-tudung tersebut boleh disedekahkan kerana kedua-dua anaknya adalah lelaki? Ataupun tudung perlu dibahagikan berdasarkan sistem faraid?,” tanya lelaki itu.

Ustaz Azhar Idrus kemudian menjelaskan bahawa harta koleksi tudung isteri tidak boleh disedekahkan kerana ia automatik menjadi harta pusaka.

“Jawapannya tidak boleh. Kerana setiap benda yang bermanfaat akan menjadi harta pusaka,” katanya.

Pendakwah asal Kuala Terengganu itu menjelaskan bahawa persepsi sebahagian masyarakat terhadap harta pusaka selalunya hanya terikat kepada beberapa barangan seperti duit, emas, tanah dan rumah.

Namun katanya; “Segala-galanya adalah harta pusaka selagi boleh diambil guna (bermanfaat),” jelas UAI lagi.

Beliau kemudian turut memberikan beberapa contoh ringkas berkenaan harta pusaka yang boleh difahami dengan mudah.“

Selipar sebelah, tidak menjadi harta pusaka. Kalau dua belah, menjadi harta pusaka. Walaupun selipar murah, (misalnya) RM5 sahaja, (tetapi) boleh dipakai dan diambil manfaat oleh orang lain, itu harta pusaka. Sudu satu? Harta pusaka, wajib faraid”, katanya lagi.

Namun begitu, beliau berkata sekiranya waris bersetuju untuk disedekahkan, barulah perkara itu dibolehkan.

“Semua waris setuju bersedekah, baru boleh. Jangan buat pasal jangan buat main.” ujarnya.

UAI seterusnya mengingatkan orang ramai mengambil berat mengenai perkara ini, terutamanya para suami.

“Apabila mati, semuanya balik menjadi milik Allah…sebab itu waris tidak boleh buat suka-suka. Bila (harta) jadi hak waris? Selepas melalui dua perkara. Pertama, bayar hutang agama dan kedua bayar hutang manusia. Baki baru menjadi milik waris,” katanya lagi.

Baca juga: Permaisuri sebak orang Sabah rela tunggu dalam hujan, doakan rakyat tidak sakit, tidak demam