Kantoi bermesra dengan lelaki lain, ibu sanggup lempar anak sendiri dari balkoni

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang ibu sanggup melempar anaknya sendiri daripada balkoni rumah hanya kerana kanak-kanak itu menjadi saksi kecurangannya bersama lelaki lain.

Menyayat hati, nyawa kanak-kanak berusia tiga tahun itu malangnya tidak dapat diselamatkan walaupun telah dikejarkan ke hospital dengan segera.

Difahamkan, wanita tersebut sanggup bertindak sedemikian kerana khuatir jika anak kecil itu akan mendedahkan hubungan sulitnya bersama lelaki lain kepada suami.

Dalam kejadian yang berlaku pada 28 April lalu itu, suami suspek iaitu bapa kepada mangsa sedang menganjurkan satu perasmian pembukaan kedai baharu miliknya.

Suaminya telah menjemput ramai kenalan untuk hadir ke acara tersebut termasuklah seorang jiran lelaki yang dipercayai telah menjalinkan hubungan sulit bersama suspek.

Ketika suami sedang sibuk melayan para tetamu, wanita berkenaan dipercayai telah bermesra dengan jiran tersebut di balkoni rumah yang terletak di tingkat atas.

Sempat berkelakuan tidak senonoh dengan lelaki lain, wanita berkenaan mula merasa panik apabila mendapati aksinya itu disaksikan oleh anaknya sendiri.

Tidak dapat berfikir secara rasional, wanita yang tidak ingin kecurangannya terbongkar itu telah bertindak melempar anaknya sendiri daripada balkoni rumah.

Memetik laporan India Today, kejadian mengerikan itu berlaku di sebuah kediaman yang terletak di Gwalior, utara Madhya Pradesh, India.

Kanak-kanak lelaki yang mengalami kecederaan serius di bahagian kepala itu kemudian disahkan meninggal dunia selepas sehari dirawat di hospital.

Langsung tidak mencurigai bahawa insiden itu adalah pembunuhan, ahli keluarga dan orang ramai percaya bahawa anak pasangan itu jatuh secara tidak sengaja.

Kejadian itu mula terbongkar apabila suspek yang dikenali sebagai Jyoti Rathore itu mula membuat pengakuan setelah mengalami mimpi buruk mengenai anaknya.

Terkejut mendengar pengakuan isterinya, bapa mangsa iaitu Dhyan Singh yang sempat merekod perbualan tersebut segera menghubungi polis untuk membuat laporan.

Bertindak atas laporan, pihak polis segera mendaftarkan kes tersebut dan menangkap Jyoti bersama kekasihnya, Uday Indauliya bagi menjalankan siasatan lanjut.

Baca juga: Papan pemotong hitam berdaki pun boleh putih kalau sental guna bahan ini, tak payah nak rendam sabun