Baru tahu ini rupanya fungsi ‘soak’, butang paling penting untuk mesin basuh!

Oleh WAN SITI AMINAH

Mesin basuh yang kotor dan berkeladak rupanya boleh menjadi punca kain berbau hapak walaupun telah diletakkan sabun dan pewangi pakaian.

Bukan itu sahaja, kekotoran pada mesin basuh ini juga boleh melekat pada kain sekiranya peralatan elektrik tersebut tidak dicuci secara berkala.

Tidak perlu membelanjakan wang untuk mengupah orang atau membeli perkakas khusus, pengguna hanya perlu menekan satu butang untuk mencuci mesin basuh.

Bukan hiasan semata-mata, butang SOAK atau TUBE CLEANING di mesin basuh ini sebenarnya berfungsi untuk mencuci kekotoran yang melekat di dinding mesin.

Pengguna hanya perlu menyediakan sedikit cuka dan soda bikarbonat untuk mengikuti kaedah ini bagi memastikan mesin basuh anda bersih secara keseluruhan.

1. Tekan butang ON.

2. Pilih dan tekan program SOAK atau TUBE CLEANING. Kemudian, tekan START.

3. Apabila mesin sudah mula mengisi air sehingga hampir penuh, masukkan CUKA dan SODA BIKARBONAT.

Tular di media sosial, panduan mudah ini dikongsi oleh seorang pengguna Facebook menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun milik Ika Hazman.

“Sukatan cuka dan soda bikarbonat itu boleh agak-agak sahaja. Memadai dengan masukkan suku cawan cuka bersama dua hingga tiga sudu soda bikarbonat.

“Selepas itu, tutup bahagian atas mesin basuh dan biarkan sehingga proses itu selesai. Tetapi, janganlah letak kain pula ya,” selorohnya.

Ika turut memaklumkan bahawa mesin basuh perlu dicuci seelok-eloknya dalam tempoh dua bulan sekali agar peralatan elektrik itu dapat berfungsi dengan baik.

Hal ini kerana, mesin basuh amat mudah terdedah kepada kerosakan sekiranya terlalu banyak habuk dan kekotoran yang terkumpul di dalam peralatan elektrik tersebut.

Baca juga: Peniaga nasi ayam claypot bersumpah tak pernah guna bahan tidak halal, dua-dua botol sebenarnya minyak bijan