Bekas Isteri buat pendedahan mengejut pasal ND Lala, dakwa bertahun tak kerja, hidup cuma berfoya-foya main golf dengan bini muda

Oleh KIM SYAZIE

Kemelut rumah tangga penyanyi tahun 1980 an, Datuk ND Lala dan bekas isterinya Fauziah Sarman bukan lagi rahsia selepas ND Lala secara terbuka mengakui dakwaan dirinya berkahwin dua.

Tetapi cerita demi cerita berkenaan penyanyi lagenda itu masih belum berakhir apabila Fauziah meluahkan isi hati dengan panjang lebar berkongsi kepedihan mendalam yang dirasainya.

Menerusi hantaran dimuat naik di IG, Fauziah yang juga ibu kepada penyanyi popular, Shila Amzah mendakwa sudah bertahun-tahun nafkah dirinya diabaikan oleh bekas suami yang tidak bekerja dan kehidupan mereka ditanggung oleh seorang anak yang berbakti untuk keluarganya.

Dakwa Fauziah, ND Lala banyak menghabiskan masa dengan bermain golf bersama isteri baharunya, Siti Munirah.

“Tiada rasanya keluarga yang tidak akan bergaduh jika hak kami (isteri) diusik. Tanyalah diri berapa lama nafkah saya diabaikan.

“Cerminlah diri, bertahun-tahun anda (ND Lala) tidak bekerja, bertahun-tahun pagi petang main golf dan berpoya-poya dengan isteri baru,” katanya.

Fauziah mahu bekas suaminya sedar bahawa sumber kewangan dan kesenangan yang diperolehi selama ini adalah hasil titik peluh anak sulung mereka iaitu penyanyi,Shila Amzah.

“Kena sedar, kehidupan yang terbina sekarang hasil dari titik peluh seorang anak yang tidak pernah berkira untuk keluarganya.

“Tetapi janganlah sampai menghabiskan dan bersenang-senang dengan rezeki yang dicari oleh anak,”katanya.

Ibu kepada empat cahaya itu berkata, dia tiada niat untuk untuk mengaibkan mana-mana pihak.

Tetapi dia bertegas dengan pendirian tidak akan menarik balik gelaran penyondol kepada isteri kedua ND Lala yang katanya pernah dianggap sebagai seorang anak.

“Apa perasaan kalian melihat bukti yang sahlah suami saya ketika itu sudah bernikah dengan perempuan yang pernah bersama-sama kami anggap seperti anak?

“Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Saya takkan tarik balik gelaran ‘penyondol’ untuk budak ini,” katanya

Pada 5 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, mengesahkan lafaz cerai dibuat ND Lala terhadap Fauziah secara ‘voice note’ (rakaman suara) di WhatsApp pada 2 Ogos lalu adalah sah.

Pasangan ini yang sudah hidup bersama selama 34 tahun dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Shahila, 33; Amir Syafiq, 30; Amir Syahir, 28; dan Nur Syuhada, 25.

ND Lala pada penjelasan dibuat dalam video dimuat naik di Instagram pada 8 September lalu mengaku sudah berkahwin dengan Siti Munirah Abdul Ghani, 33, yang pernah didedahkan sebelum ini oleh Fauziah di Instagram pada April lalu.

ND Lala juga menepis dakwaan isterinya, Siti Munirah adalah ‘penyondol’ kerana dia sendiri bertemu dengan bapa mentuanya untuk meminta izin dan restu memperisterikan wanita terbabit.

Baca juga: “Dah makan nak bungkus pula” – Majlis belum mula tapi tetamu kecoh nak bungkus lauk bawa balik rumah