Pihak polis sudah memulakan siasatan terhadap pendakwah bebas, Ebit Lew berhubung dakwaan yang dibuat oleh seorang wanita daripada negara jiran.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan.
Tanpa mendedahkan laporan yang dibuat oleh wanita itu berkait dengan kesalahan apa, Siti Kamsiah hanya mengesahkan bahawa satu siasatan telah dimulakan.
Malah, pihak polis juga difahamkan sudah mengambil keterangan daripada beberapa orang saksi berhubung laporan yang dilakukan oleh wanita berkenaan.
Pada masa yang sama, polis semalam turut mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima laporan daripada seorang penceramah yang mendakwa dirinya difitnah.
Fitnahan tersebut dikatakan telah disebarkan menerusi video berdurasi 27 minit 56 saat yang dimuat naik di media sosial dengan tajuk ‘The Mondy Tattoo Interview’.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, laporan itu diterimanya daripada seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun.
Laporan polis daripada individu ternama itu diterima oleh pihak berkuasa pada pukul 2.17 pagi semalam (18 September), lapor Utusan Malaysia.
“Hasil siasatan mendapati, video berkenaan memaparkan wawancara yang dikatakan memfitnah individu terkenal tersebut.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian video yang tular di media-media sosial,” katanya memetik Utusan Malaysia.
Mohd Fairus menjelaskan bahawa kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sekiranya didapati terdapat sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang, pihak PDRM akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.” Ulasnya.
Terdahulu, Ebit Lew menerusi akaun X (Twitter) memaklumkan bahawa satu laporan polis dibuat selepas mendakwa dirinya difitnah secara melampau, baru-baru ini.
Katanya laporan tersebut baru sahaja dibuat berikutan pendakwah itu baru tiba di Malaysia dari Jeddah, Arab Saudi sekitar pada pukul 12 tengah malam kelmarin.