Bapa Mondy Tattoo mohon maaf pada Ebit Lew, dakwa anak digunakan orang tidak bertanggungjawab

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki telah berjaya menyita perhatian selepas mengaku dirinya adalah bapa kepada Mondy Tattoo iaitu selebriti media sosial sensasi, baru-baru ini.

Menyita perhatian, lelaki lanjut usia itu tampil memohon maaf kepada pendakwah bebas, Ebit Lew di atas ketelanjuran anaknya dalam mengeluarkan kenyataan.

Permohonan maaf itu dibuat oleh bapa kandung Mondy Tattoo di dalam sesi siaran langsung di TikTok bersama pendakwah asal Indonesia, Ustaz Derry Sulaiman.

Difahamkan, Ustaz Derry Sulaiman adalah sahabat baik Ebit Lew yang sering muncul di media sosial demi mempertahankan pendakwah tersebut dari terus ‘difitnah’.

Menerusi sesi siaran langsung yang dirakam dan dimuat naik semula di TikTok itu, bapa Mondy kelihatan hiba dan sangat menyesali segala tindakan anaknya.

Berharap Ebit Lew dapat memaafkan anaknya, sang bapa turut membuat dakwaan bahawa Mondy mungkin dipergunakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

“Saya mohon maaf atas tingkah laku tutur kata tidak sopan (Mondy). Tolong sampaikan kepada Ustaz Ebit yang telah membantu keluarga saya.

“Saya sebagai orang bodoh, tidak mampu, mohon maaf atas perlakuan Mondy. Mungkin anak saya dalam tekanan atau diguna oleh orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Mengulas lanjut, bapa Mondy mengaku ada berhubung dengan individu yang membawa anaknya ke Malaysia namun dia hanya diminta untuk tidak merasa khuatir.

Bapa Mondy turut meminta bantuan daripada Ustaz Derry berikutan dirinya tidak mempunyai wang bagi membuat passport untuk membawa anaknya pulang.

“Saya jadi bingung, bagaimana caranya (membawa anak pulang) ustaz sedangkan saya tidak mampu untuk buat passport, cucu saya juga anak Mondy lagi.

“Saya kurang mampu, tak punya apa-apa.” Ujarnya yang masih berasa bersalah dengan kelakuan Mondy.

Walau bagaimanapun, Ustaz Derry Sulaiman telah bertindak memadam semua hantaran di akaun TikTok yang dibuatnya sebelum ini bagi mempertahankan Ebit Lew.

Oleh yang demikian, perbuatan Derry itu telah menimbulkan tanda tanya kepada rakyat Malaysia sama ada Ebit Lew benar-benar tidak bersalah ataupun sebaliknya.

Terdahulu, Mondy mendakwa dirinya terpaksa berhadapan dengan beberapa cubaan gangguan seksual oleh individu berperwatakan alim selama tinggal di Malaysia.

Tidak cukup dengan itu, wanita bertatu tersebut dikatakan telah dipaksa untuk berpura-pura beribadat sebelum dirakam bagi dijadikan ‘content’ di media sosial.

Baca juga: Lelaki menyesal beli baju bundle, baru nampak logo arak lepas jadi imam solat Maghrib