Umum tahu Engku Emran mempunyai dua bekas isteri sebelum berkahwin dengan kakak kepada Neelofa iaitu Noor Nabila.
Emran pernah mendirikan rumah tangga dengan selebriti jelita iaitu Erra Fazira dan mempunyai seorang anak perempuan, Engku Aleesya.
Dia juga pernah berkahwin dengan pelakon popular Indonesia, Laudya Cynthia Bella, namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Kelmarin, Emran memuat naik ucapan istimewa buat ketiga-tiga bekas isterinya.
Dia meluahkan rasa berbesar hati ditemukan dengan tiga orang wanita yang sudi menjadi isterinya sepanjang berada di atas muka bumi ini.

Emran turut meluahkan bahawa setiap seorang wanita yang pernah ada disisinya itu sangat memberi makna dan erti dalam hidup.
“Saya tak pernah keluar mencari mereka atau merancang untuk mengahwini mereka, namun mereka hadir ke dalam hidup saya dalam proses kerja dan jatuh cinta,” katanya.
Pada masa yang sama, Emran berkata dirinya dalam keadaan baik biarpun namanya kini menjadi bualan ramai dek khabar berkenaan rumahtangganya.
Semalam, pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, pada jam 12.51 tengah hari.
Nabila ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia reda dan menyifatkan perceraian itu sebagai takdir yang sudah tertulis.
Nabila dan Engku Emran berkahwin pada 19 Mac 2021. Nabila pernah berkahwin dengan Sharnaaz pada 31 Mac 2017 dan berpisah pada 9 Julai 2020.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden.