“Jangan persenda perjalanan hidup orang”, Erra Fazira tampil pertahan Engku Emran

Oleh WAN SITI AMINAH

Nama pelakon terkenal, Erra Fazira nampaknya ikut terseret dalam kes penceraian bekas suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin dengan usahawan, Noor Nabila.

Sekian lama berdiam diri, Erra akhirnya tampil bersuara apabila dirinya dituduh mengeluarkan kenyataan mengenai ‘perangai sebenar’ bekas suaminya itu.

Difahamkan, kenyataan tersebut diterbitkan oleh portal atas talian menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di akaun media sosial Facebook milik Kini Hangat.

Tidak pernah membuat komen sedemikian rupa, pelakon berusia 49 tahun itu berharap mereka yang bertanggungjawab berhenti memfitnah demi mencari sensasi.

Primadona Filem Melayu itu menegaskan bahawa dirinya tidak pernah ikut campur di dalam urusan membabitkan bapa kandung kepada anak gadisnya, Engku Alessya.

“Janganlah macam ini. Kalau nak sensasi sekalipun, jangan buat fitnah! Saya tidak pernah memberi sebarang komen sebegini!

“Saya hormati privasi ayah kepada anak saya dan pasangan (Nabila),” tegas Erra Fazira menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram ‘Story’ miliknya.

Tampil mempertahankan Engku Emran, Erra juga sempat mengingatkan para netizen atau pengguna sosial media untuk tidak begitu cepat menghukum orang lain.

Kerana menurutnya, setiap manusia di dunia ini mempunyai perjalanan hidup masing-masing dan tiada satu orang pun yang tahu pengakhirannya bagaimana.

“Jangan persendakan perjalanan hidup seseorang bila mana kita sendiri tidak tahu nasib dan perjalanan yang perlu dilalui kelak. Sekian.” Ulasnya menerusi hantaran sama.

Hantaran ‘story’ Erra menerusi akaun Instagram miliknya.

Terdahulu, teka teki status rumah tangga antara Engku Emran dan Nabila berakhir apabila pasangan itu sah bercerai talak satu pada jam 12.51 tengah hari, semalam.

Untuk rekod, pasangan yang bercerai di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur itu baru mendirikan rumah tangga selama dua tahun iaitu tepatnya pada 19 Mac 2021.

Pernikahan itu berlangsung selepas Emran menceraikan bekas isterinya iaitu pelakon Indonesia terkenal yang bernama Laudya Chynthia Bella pada bulan Julai 2020.

Engku Emran juga pernah berkahwin dengan Erra pada 25 Oktober 2007 lalu sebelum mereka memutuskan untuk membawa haluan masing-masing pada 18 Februari 2014.

Hasil perkongsian hidup bersama, Emran dan Erra dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Engku Aleesya dan gadis itu menjadi satu-satunya zuriat mereka berdua.

Manakala, Nabila pula pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon lelaki terkenal, Sharnaaz Ahmad pada Mac 2017 sebelum berpisah pada 9 Julai 2020.

Menerusi perkahwinan itu, Nabila dan Shazrnaaz dikurniakan seorang anak lelaki yang dikenali sebagai Jebat Jayden.

Baca juga: Selepas sah bercerai, Engku Emran titip ucapan istimewa buat bekas-bekas isterinya