“Iddah aku 100 tahun ke?”, Puteri Sarah berang dituduh video call lelaki lain dalam tempoh iddah

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon sensasi, Puteri Sarah Liyana meluahkan rasa bengang apabila dituduh tidak menghormati tempoh iddah walaupun sudah lama sah bercerai.

Lebih mengeruhkan keadaan, individu yang melemparkan tuduhan itu bukanlah orang asing melainkan bekas kakak ipar kepada Ira Kazar, Wiwie Darvienda Mazweena.

Berdasarkan satu tangkap layar yang dikongsi Sarah, Wiwie telah menuduh pelakon tersebut bermanja dengan lelaki lain menerusi panggilan video ketika dalam iddah.

Malah, Sarah dikatakan membuat panggilan telefon berkenaan di hadapan khalayak ramai menerusi sesi siaran langsung yang disaksikan oleh pengikut media sosialnya.

Berjaya menyita perhatian ramai, perkara tersebut didedahkan oleh pelakon berusia 37 tahun itu menerusi satu hantaran yang dimuat naik di InstagramStory’ miliknya.

Difahamkan, pertikaian mengenai perlakuan Sarah ketika dalam iddah itu dibuat Wiwie ketika sedang berbual dengan seorang individu menerusi aplikasi Instagram.

Merasa tidak puas hati, Sarah turut memberi peringatan kepada bekas kakak ipar Ira Kazar itu bahawa tindakan saman yang dikenakan kepadanya tetap akan diteruskan. 

“Ada individu yang kongsikan perkara ini kepada saya. Inilah sikap manusia yang tiada pekerjaan, sibuk fasal iddah orang. Apa, iddah aku 100 tahunkah?

“Sudah kena saman, duduklah diam-diam. Simpan duit nak bayar saman nanti,” kata Sarah sambil memaparkan tangkap layar perbualan Wiwie dengan individu tersebut.

Lelaki yang dimaksudkan Wiwie dipercayai merujuk kepada pelakon dari tanah seberang, Indonesia iaitu Andi Arsyil Rahman yang juga rakan perniagaan Puteri Sarah.

Selain memberi amaran untuk Wiwie berhenti mengeluarkan kenyataan mengenai dirinya, Sarah turut mengingatkan orang ramai agar tidak mencampuri urusan orang lain.

“Mahu belajar cara buat duit? Boleh sertai pasukan saya. Kita tidak mahu jadi manusia seperti ini, suka jaga tepi kain orang.” Ulas Sarah lagi.

Terdahulu, nama Wiwie mula dikenali ramai setelah Puteri Sarah mendakwa bekas kakak ipar kepada bekas madunya itu telah menjaja cerita buruk mengenai dirinya.

Puteri Sarah kemudian memuat naik tangkap layar penyata tuntutan saman kerana memfitnah termasuk injuksi terhadap wanita berkenaan di laman Instagram.

Isi kandungan tuntutan yang dibuat pada 30 Ogos lalu itu mendakwa Wiwi telah membuat kenyataan tidak wajar melibatkan Puteri Sarah di Instagram pada 24 Ogos lalu.

Baca juga: Ingatkan berbaloi beli barang promosi, rupanya harga lagi ‘cekik darah’