Wira Covid-19 terus berjuang, Dr. Noor Hisham kembali bertugas di Hospital Putrajaya

Oleh WAN SITI AMINAH

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kembali bertugas sebagai pakar bedah di Hospital Putrajaya mulai semalam.

Dr Noor Hisham yang dijulang sebagai wira negara sepanjang penularan pendemik Covid-19 itu mengumumkan pesaraannya secara rasmi pada 19 April lalu.

Pesaraan beliau sebagai Ketua Pengarah Kesihatan itu ditangisi oleh rakyat Malaysia yang menghargai jasanya sepanjang tiga dekat berkhidmat dalam sektor kesihatan.

Selepas beberapa bulan berehat, Dr Noor Hisham menyarung semula seragamnya untuk kembali berjuang dalam bidang kepakarannya di Hospital Putrajaya.

Perkara berkenaan dimaklumkan sendiri olehnya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun media sosial X (Twitter) rasmi miliknya, @DGHisham.

Difahamkan, Dr Noor Hisham akan memulakan sesi pembedahan pada setiap hari Isnin manakala setiap hari Selasa pula beliau akan menjalankan tugas di klinik.

“Pada pagi ini (semalam), saya kembali bertugas di Institut Endokrin Hospital Putrajaya. Institut ini meliputi sebuah blok 10 tingkat dengan 220 buah katil. 

“Unit rawatan rapi ICU (dewasa 10 katil, pediatrik  8 katil) dan Dewan Bedah Hibrid (Neuro-Endokrin Berintegrasi) serta 4 Dewan Bedah telahpun mula beroperasi pada minggu lepas. 

“Semoga Institut Endokrin ini akan dapat memperkukuhkan lagi perkhidmatan perubatan dan pembedahan endokrin dalam negara,” ciapnya semalam.

Pakar bedah berusia 60 tahun itu turut menyimpan harapan agar institut tersebut kekal menjadi pusat kecemerlangan tempatan yang bertaraf antarabangsa.

Terdahulu, Dr Noor Hisham pernah diiktiraf oleh China Global TV Network sebagai antara tiga doktor terbaik dunia yang mengetuai usaha memerangi COVID-19.

Sepanjang tempoh lebih tiga dekad berkhidmat, beliau dianggap ‘wira’ rakyat kerana berjaya memimpin pasukan kesihatan untuk memerangi penularan virus tersebut.

Baca juga: Azlan Komeng dan Nilam buat laporan polis, diugut bunuh lepas ‘backup’ Ira Kazar?